Berita

Kerajaan PH serius tangani masalah jerebu

Kerajaan Pakatan Harapan memandang serius masalah jerebu rentas sempadan akibat daripada pembakaran terbuka di Indonesia dan telah mengambil beberapa langkah pantas bagi menangani situasi tersebut. 

Sebagai contoh kerajaan PH menerusi surat rasmi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah menawarkan bantuan menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah di Indonesia.

Malah, Bee Yin memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyuarakan kepada rakan sejawatnya di Indonesia, Joko Widodo berhubung isu jerebu rentas sempadan. 

Menurut beliau perkara tersebut telah dibincangkan dengan Dr Mahathir dan beliau bersetuju untuk menghantar surat kepada Presiden Indonesia itu.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri dan beliau telah bersetuju untuk menulis surat kepada Presiden Jokowi untuk menarik perhatian beliau atas isu jerebu merentasi sempadan ini,” kata Bee Yin.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bekalan Air Labuan telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di beberapa lokasi di Sarawak.

Kerja-kerja Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilakukan oleh agensi terlibat – Foto oleh Jabatan Meteorologi Malaysia .

OPA dilakukan di lima kawasan negeri itu membabitkan Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong selepas kualiti udara terjejas teruk akibat jerebu.

Susulan daripada itu, METMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kualiti udara di seluruh negeri itu kini bertambah baik.

Bagi kawasan semenanjung pula, menurut agensi tersebut, OPA akan dilakukan pada 16 dan 17 September berdasarkan penganalisisan model cuaca yang dijalankan. 

“Kualiti udara di Semenanjung, terutama di bahagian Pantai Barat merosot kepada tahap tidak sihat. MetMalaysia akan melaksanakan OPA bagi mengurangkan kesan jerebu yang semakin teruk.

“Berdasarkan penganalisisan model cuaca dari 13 hingga 19 September ini, didapati keadaan yang sesuai untuk melaksanakan OPA di Semenanjung ialah pada 16 dan 17 September,” katanya.

Semalam, kerajaan Selangor menetapkan operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di kawasan berjerebu yang mencatat bacaan sangat tidak sihat dengan IPU melebihi 200. – Roketkini.com