Rencana

Siapa calon PM gabungan klepto-teokrasi PAS-UMNO?

(Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Gelang Patah pada Jumaat, 13 September 2019)

Siapa yang akan jadi Perdana Menteri jika gabungan klepto-teokrasi PAS-UMNO, yang akan diputuskan esok, menang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2023?

Adakah Datuk Seri Najib Razak? Yang kini berdepan 43 tuduhan rasuah dan digelar sebagai kleptokrat global — sekaligus menyelematkan dirinya daripada dipenjara seumur hidup di penjara Sungai Buloh?

Adakah rakyat Malaysia akan terpaksa sekali lagi menerima “Malu Apa Bossku” sebagai PM?

Adakah PRU15 akan menyelamatkan Najib daripada skandal 1MDB, membuka jalan untuk Tan Sri Mohamad Apandi Ali kembali sebagai Peguam Negara untuk mempertahankan skandal 2MDB, 3MDB dan skandal-skandal seterusnya?

Yang lebih “menarik”, adakah negara ini akan kembali dikawal oleh penjenayah dalam buruan yang kini cuba mengelak perbicaraan; Jho Low yang “pro-Melayu, pro-Islam”, yang mana akan membawa Malaysia ke arah kegemilangan – seorang Cina yang akan mengawal Malaysia menerusi proksinya “Malu Apa Bossku”!

Pun begitu, “kemahsyuran” Najib bukan datang daripada “dalang 1MDB” itu sahaja. Malahan Najib juga bertanggungjawab terhadap pembohongan terbesar dalam sejarah Malaysia – kononnya DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Malaysia, bahawa saya kononnya Syaitan Besar Malaysia.

Satu lagi contoh ketoksikan Najibisme boleh dilihat dalam Perhimpunan Agung UMNO, sebelum dan selepas PRU14, termasuk tuduhan liar bahawa saya kononnya seorang komunis; boneka kuasa asing; kononnya saya menguasai Pakatan Harapan dan membuatkan pemimpin lain seperti Mahathir, Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu sebagai pak turut dan boneka saya; bahawa kononnya saya mahu jadi Perdana Menteri; bahawa kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan agenda Kristianisasi – dan terbaru, kononnya saya ingin merebut jawatan dalam Kabinet!

Pada masa sama, saya dituduh oleh oportunis dan desperado dari MCA dan Gerakan kononnya saya kini menjadi “anjing suruhan” yang menjual hak, kepentingan dan masa depan orang Cina.

Biar saya jelaskan secara tuntas bahawa dalam 53 tahun saya berkecimpung dalam politik Malaysia, saya tidak pernah sekalipun terfikir untuk jadi PM Malaysia.

Mereka yang menyebarkan pembohongan bahawa DAP mempunyai agenda Kristianisasi adalah pihak tidak bertanggungjawab yang mahu melihat Malaysia gagal sebagai sebuah negara. Kepercayaan yang amat dangkal bagi mereka yang yakin bahawa DAP dan saya sendiri kononnya mahu menolak Islam sebagai agama rasmi dan digantikan dengan Kristian, sedangkan saya sendiri bukan penganut agama Kristian.

Sekali lagi, ingin saya tegaskan bahawa sejak 53 tahun lalu, agenda kristian atau seumpamanya tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat DAP, sama ada di peringkat kebangsaan, negeri mahupun tempatan – termasuk dalam Kongres DAP Kebangsaan.

Pendirian DAP terhadap Islam sebagai agama rasmi adalah jelas dan tuntas, kerana kami telah berulang kali menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan asas dalam perlembagaan tersebut.

Ia adalah objektif utama dalam gabungan Pakatan Rakyat dahulu dan dalam kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

Atau adakah jawatan PM akan diberikan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang membunuh Pakatan Rakyat dengan menolak pencalonan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk jawatan Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim pada Ogos 2014?

Saya masih ingat ucapan saya pada forum PAS di Melaka, 19 tahun lalu pada Jun 2000, berikut beberapa soalan yang saya ajukan pada forum tersebut:

  1. Adakah PAS serasi dengan demokrasi

  2. Adakah PAS serasi dengan pluralisme

  3. Adakah PAS serasi dengan hak asasi manusia

  4. Adakah PAS serasi dengan kepelbagaian budaya

  5. Adakah PAS serasi dengan hak-hak wanita, prinsip kesaksamaan untuk wanita termasuk peluang kepada wanita dalam pejabat awam dan kehidupan awam

  6. Adakah PAS serasi dengan pembangunan dan pemodenan.

Pada awal pembentukan Pakatan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2013, PAS berkempen atas platform “PAS for All”, membawa perjuangan gagasan politik Islam yang bersesuaian dengan enam objektif yang dibangkitkan saya pada 2000.

Namun pada 2014, kepimpinan PAS di bawah pimpinan Hadi menentang pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor atas dasar bahawa beliau seorang wanita, sehingga mencetuskan perpecahan Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan yang diasaskan pada 2008 dan terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

Kini, kepimpinan PAS yang dikemudi Hadi menyokong tesis bahawa pemimpin beragama Islam yang korup lebih baik daripada pemimpin bukan beragama islam yang bersih, jujur dan tidak korup. Kepimpinan Hadi malah mengikut rentak pemimpin UMNO dengan menyebarkan pembohongan, fitnah, berita palsu dan ucapan kebencian yang melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama. Akibatnya, kita kini dihidangkan dengan pembohongan “patuh syariah”, fitnah, berita palsu dan ucapan kebencian!

Hadi mungkin sudah lupa bahawa beliau pernah secara terbuka mengaku bahawa DAP pernah mempertahankan PAS semasa kerajaan Kelantan jatuh ke tangan Barisan Nasional pada 1978, sehingga mencetuskan kekacauan di negeri tersebut.

Barisan Nasional, yang bekerjasama dengan PAS ketika itu, tidak melakukan apa-apa untuk membantu PAS dan hanya DAP yang mempertahankan PAS.

Atau adakah Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Raja Tuduhan Rasuah dengan 87 tuduhan jenayah, akan menjadi PM Malaysia jika gabungan klepto-teokrasi PAS-UMNO menang PRU15?

Saya pernah nyatakan sebelum ini bahawa gabungan yang diputuskan esok itu adalah gabungan PAS-UMNO dan bukannya UMNO-PAS, kerana jelas PAS memainkan peranan “Abang Besar” dalam gabungan itu.

Sejak beberapa bulan lalu, pemimpin UMNO lah yang banyak memuji pemimpin PAS dan bukan sebaliknya, kerana pemimpin UMNO berharap gabungan dengan PAS akan menyelematkan mereka.

Sudah dua minggu berlalu, tetapi saya masih ternanti-nanti jawapan daripada Zahid tentang parti politik mana yang sebenarnya mengalami “kelemayuh politik” dan telah “ditendang keluar dari tampuk kuasa dalam PRU14 pada 9 Mei 2018”, meskipun PM dan Presiden UMNO/BN malah semua kepimpinan Barisan Nasional menjangkakan bahawa mereka akan bukan sahaja mendapat semula mandat untuk mentadbir, tetapi memperolehi dua pertiga sokongan Parlimen?

Lebih-lebih lagi, saya telah bertanya kepada Zahid mengapa beliau terpaksa bercuti daripada jawatan presiden UMNO pada 18 Disember 2018? Selepas beliau merujuk kepada keadaan memalukan yang sedang dihadapi UMNO dan dimalukan dan ditolak dalam mesyuarat yang dihadirinya.

Jadi siapa calon PM gabungan klepto-teokrasi PAS-UMNO – Najib lagi atau Hadi atau Zahid? Atau mereka tidak berani untuk memperkatakan tentang perkara itu dan mahu terus memesongkan rakyat Malaysia? – Roketkini.com