Rencana

Malaysia, tanah air kita bersama

(Kenyataan media Pimpinan Utama Pakatan Harapan)

Banyak peristiwa pahit dan manis yang telah dilalui oleh Malaysia semenjak mencapai kemerdekaan kepada sebuah negara berdaulat dan bebas melakar hala tujunya mengikut acuannya yang tersendiri. 

Mulai dari hari itu tugas yang digalas oleh kerajaan dan juga rakyat ialah mengisi kemerdekaan tersebut agar ianya tidak menjadi sia-sia. Kerajaan Pakatan Harapan tidak terkecuali, telah berusaha dengan sepenuh hati untuk mengangkat martabat negara ke satu tahap yang boleh dibanggakan terutamanya kepada pertumbuhan ekonomi serta ikatan hubungan masyarakat yang lebih jitu dan akrab. 

Sememangnya kita amat mensyukuri penyatuan bersejarah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan, telah mengukir jutaan rahmat. Kita telah melihat contoh bagaimana semua pihak di sana, dapat hidup secara harmoni dan saling bertoleransi, serta memahami budaya dan agama antara satu sama lain; bahkan dalam kepelbagaian yang jauh berwarna-warni serta bersimbiosis. Prinsip dan semangat kebersamaan dalam Malaysia telah disemai sebagai penyatu dan bumbung yang memayungi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. 

Hakikatnya, penyatuan rakyat Malaysia adalah sesuatu yang istimewa dan merupakan satu daya tarikan kepada pelabur asing. Kepentingan inilah menyebabkan kerajaan semasa amat menitikberatkan soal perpaduan, kerana dengan bersatu hati kita dapat membina negara yang aman dan sejahtera. 

Janganlah ada di antara kita yang mempersoalkan kesetiaan dan jati diri mana-mana etnik yang ada di sekeliling, apabila identiti sesuatu bangsa sering dipertikaikan, kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam. Oleh itu, setiap etnik akan mengambil jalan mudah dengan cuba mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya, jurang hubungan antara kaum semakin membesar dan ekonomi negara akan merudum. 

Sejarah telah membuktikan betapa negara ini terbina atas nilai-nilai tolak ansur, ketinggian budi, hormat-menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi, tidak mementingkan diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan negara. Tanpa nilai-nilai tersebut, Malaysia tidak akan membesar menjadi negara maju yang berkeupayaan memberi kepada rakyatnya keselesaan, keharmonian dan kemajuan. 

Setiap dari kita harus punya usaha untuk mengekalkan sebuah fabrik sosial yang aman, makmur dan sejahtera; serta jauh daripada gerakan untuk menimbulkan permusuhan sesama kita rakyat yang berbumbungkan negara Malaysia. Kita inginkan sebuah negara yang harmoni, bukan sebuah negara yang prejudis terhadap satu sama lain. 

Bak kata Sasterawan Ulung Negara, Usman Awang, perpaduan tidak beri erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata. Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan satu pihak atau golongan tertentu. 

Sehubungan dengan itu, kami menyokong seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau yang menekankan kepentingan perpaduan yang mewujudkan kestabilan negara ini ketika sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak. 

“Apabila perpaduan tercapai pastinya kestabilan akan wujud. Kestabilan memberi kita ruang untuk mentadbir dan melaksanakan dasar dan program untuk pembangunan Negara dan kesejahteraan rakyat. Kestabilan ini juga akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan ini akan menjana kekayaan yang akan kita kongsi bersama,” kata beliau. 

Atas semangat itu, kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menginsafi dan menghargai perpaduan sesama kita. Biar berbeza agama, keturunan dan budaya; kita semua sama darahnya yang berkiblatkan kesatuan dalam kepelbagaian. 

Malaysia adalah tanah air kita bersama. Selamat menyambut Hari Malaysia ke-56! Sayangi Malaysiaku. – Roketkini.com

*Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.