Berita

Kerajaan setuju guna kamera badan pada pegawai penguat kuasa elak salah laku – PM

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, cadangan itu dipersetujui berikutan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa menjalankan tugas seperti memukul orang yang disiasat. 

“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya seperti dipetik media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di Putrajaya hari ini.

Tarikh pelaksanaan itu, bagaimanapun belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan, tambahnya. 

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto selasa lalu mencadangkan agar pegawai polis dilengkapkan dengan kamera badan supaya video dan imej yang dirakam menerusi alat itu boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam siasatan, inkuiri dan perbicaraan mahkamah. – Roketkini.com