Berita

Dulu berseteru, kini sedia ganding bahu basmi kemiskinan

Siapa sangka, dua pemimpin yang dahulunya berseteru kini bertemu pada matlamat yang sama, iaitu untuk membasmi kemiskinan.

Dua pemimpin itu adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang. 

Pada tahun 1984, Kit Siang pernah dihalang daripada memasuki Sabah sewaktu Harris menjadi Ketua Menteri yang keenam.  

“Walaupun sejarah antara kami tidak berapa baik sebelum ini, saya bersedia untuk mendengar pandangan Harris berkenaan langkah yang paling efektif bagi membasmi kemiskinan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Kit Siang memaklumkan beliau menerima sebuah memorandum tentang kemiskinan di Sabah daripada Harris. 

Kata pemimpin veteran DAP itu, Harris menyatakan dalam memorandum itu bahawa meskipun Malaysia telah berjaya mengangkat taraf kehidupan rakyat menerusi program seperti FELDA, ia telah gagal dalam sepuluh tahun terakhir pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. 

“Beliau berkata kemiskinan di Malaysia masih sangat tinggi khususnya di Sabah dan menggesa agar strategi dan program baru dirangka bagi membasmi kemiskinan, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya. 

Tambah Kit Siang, Harris telah menyediakan Cadangan Peningkatan Ekonomi Komuniti Pesisir dan Luar Bandar. 

“Kata beliau, kemiskinan di Sabah boleh dibahagikan kepada dua kawasan; pertama, pesisir dan kedua luar bandar (pedalaman), dan mencadangkan program berbeza bagi setiap kawasan berkenaan.

“Memandangkan Harris telah mendirikan projek pilot di kedua-dua kawasan berkenaan dan mengundang saya untuk melawat kawasan-kawasan tersebut, saya secara prinsipnya bersedia untuk melawat projek pilot yang dilakukan Harris, satu di Balung, Tawau dan satu lagi di daerah Kuala Penyu di luar Kota Kinabalu,” ujar Kit Siang.

Isu mengenai kemiskinan di Malaysia kembali hangat diperkatakan selepas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, mendedahkan bahawa kemiskinan di negara ini belum dibasmi sepenuhnya seperti didakwa kerajaan BN sebelum ini. 

Menurut Philip, kadar kemiskinan sebenar di negara ini adalah jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus. – Roketkini.com