Berita, Rencana

Sindiket MyKad perlu dikenakan hukuman berat

Oleh Howard Lee Chuan How

(Ketua DAPSY Malaysia, Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Adun Pasir Pinji, Exco Kerajaan Negeri Perak)

Kumpulan sindiket yang menjual MyKad adalah perbuatan yang keji dan perlu diberi hukuman sekerasnya-kerasnya mengikut lunas perundangan negara. Tindakan mereka adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara, justeru semua mereka termasuk sesiapa sahaja yang bersubahat mestilah dibawa ke kamar mahkamah kerana mengancam kedaulatan negara.

Kewarganegaraan adalah satu bentuk hak dan keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan melalui kelahiran atau kepada mereka yang sudah membuktikan bahawa mereka layak setelah mengikut proses yang sah. Menggugat prosedur ini melalui jalan belakang dengan suapan wang ringgit adalah tindakan pecah amanah terhadap warga Malaysia dan jentera awam yang telah berusaha keras ke arah pembentukan ketatarakyatan yang jitu.

Tiada jenis korupsi dan rasuah yang lebih baik daripada yang lainnya — semua bentuk korupsi adalah jelek. Memperoleh kewarganegaraan melalui korupsi sebegini telah merosakkan institusi awam kita yang terbina utuh. Sudahlah ramai warga kita sendiri yang lahir di negara ini masih lagi dibelenggu masalah tidak bernegara (statelessness) sejak berdekad lamanya, perkara yang berlaku ini amat menghina denyut nadi penderitaan mereka.

Pada masa yang sama, amatlah musykil satu dakwaan tak munasabah bahawa DAP kononnya mahu membawa kaum Cina dari negara China dengan menjual MyKad. Jika fitnah ini benar, tak perlulah DAP meminta Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membangkitkan isu tidak bernegara dan kad pengenalan merah, sebaliknya hanya terus berdiam dan teruskan jual MyKad sahaja.

Justeru, Sayap Sosialis Muda DAP Kebangsaan (DAPSY) memandang serius terhadap isu pecah amanah ini dan permainan politik fitnah dalam isu ini. Pecah amanah dan salah guna kuasa untuk memberi kewarganegaraan dan dokumen berkaitan melalui aliran tunai yang korup adalah kesalahan yang sangat serius. Tindakan undang-undang yang sewajarnya wajib diambil terhadap golongan ini. Sekiranya mereka disabitkan dengan kesalahan, hukuman yang seberat-berat dan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang sedia ada, perlu dijatuhkan ke atas mereka.

Kami juga menyeru agar Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan yang tuntas dan pantas dalam menyelesaikan lambakan permohonan kewarganegaraan oleh warga yang layak dalam mendapatkan dokumentasi mereka. Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka benar-benar layak. – Roketkini.com