Berita

Adu domba di media sosial jauh terpisah dari realiti sebenar Malaysia yang harmoni

Persepsi kononnya wujud ketegangangan antara kaum dan agama di Malaysia yang disebarkan sesetengah pihak di media sosial tidak mencerminkan realiti dan interaksi kehidupan sebenar, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang. 

Katanya, masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini hidup harmoni tidak seperti apa yang digambarkan di media sosial di mana “perasaan sangsi, tidak percaya, ketakutan dan kebencian” merebak menerusi penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian. 

“Yang terlihat realitinya adalah suasana muhibah, persahabatan, persefahaman, toleransi dan harmoni di kalangan rakyat Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India, Kadazan atau Dayak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Bagai menambah garam ke luka, mesej perpecahan dan ketakutan seumpa itu dibiayai dan digerakkan dalam bentuk kempen bagi menjadikan apa yang digembar-gemburkan di media sosial sebagai realiti, tambahnya. 

“Satu contoh kempen komplot tersembunyi seumpama ini adalah kebanjiran di media sosial baru-baru ini dengan berita palsu tentang penghinaan terhadap bendera negara kononnya dicetuskan oleh orang Malaysia Cina bagi mewujudkan rasa cemas, tidak percaya, ketakutan dan kebencian di kalang orang Melayu.

Jelas Kit Siang, imej seorang lelaki yang didakwa berbangsa Cina sedang membakar bendera Malaysia itu sebenarnya diambil daripada insiden di Manila pada 2013, di mana pegawai polis Filipina membakar bendera Malaysia sebagai tanda memprotes cara Presiden Filipina ketika itu, Benigo Aquino menangani isu berkaitan Sabah. 

Lebih parah, katanya, ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan imej tersebut dengan mewujudkan persepsi palsu tentang hubungan kaum dan agama di negara ini seperti apa yang dilakukan Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa. 

“Saya berani untuk berkata bahawa tidak ada seorangpun orang Malaysia Cina yang mahu dengan sengaja mengaibkan bendera negara dengan mengibarkannya secara terbalik atau sebagainya,” tegas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri. – Roketkini.com