Berita

Syahredzan gesa polis semak semula siasatan kes kematian Adib

Peguam, Syahredzan Johan menggesa polis menyemak semula siasatan kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim selaras dengan keterangan, bukti dan dapatan Mahkamah Koroner hari ini. 

Gesaan ini selepas Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Adib berpunca perbuatan jenayah.

“Muhammad Adib gugur sebagai seorang wira semasa melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba. 

“Saya percaya semua pihak mahu melihat pelaku-pelaku yang menyebabkan kematiannya dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan kematian Adib berpunca perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas meneliti keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan ke mahkamah semasa prosiding inkues.

Prosiding inkues kematian Adib bermula pada 11 Februari yang lalu, dan telah berjalan selama 41 hari. 

Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 ekshibit dikemukakan. Melalui inkues ini, segala teori dan kebarangkalian tentang punca kematian Adib telah dibentangkan dan dipertimbangkan.

Penubuhan inkues langkah tepat

Dalam pada itu, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata langkah mengadakan inkues berhubung kematian Adib adalah suatu keputusan yang tepat. 

Ini sekaligus membuktikan bahawa kritikan sesetengah pihak berhubung penubuhan inkues berkenaan adalah tidak berasas sama sekali.

“Tidak ada perkara yang boleh disembunyikan atau dipendam dalam inkues yang transparen. 

“Ia juga membuktikan bahawa sekiranya sistem kehakiman negara adalah bebas dan diyakini umum, tidak ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja,” ujar Syahredzan. 

Pada Mei lalu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mempersoalkan sama ada peguam negara tidak percaya pada hasil siasatan polis kerana telah memohon inkues tersebut dilaksanakan. 

 Pada bulan sama, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob pula dilaporkan menggesa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menggantikan inkues yang masih berlangsung pada ketika itu. – Roketkini.com