Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Tan Tiong Yih, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini, terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak berhubung penyebaran berita palsu berunsur fitnah terhadap Nga Kor Ming.
Dalam laporan polisnya, beliau merujuk satu hantaran di Facebook milik Najib yang memfitnah Kor Ming.
Hantaran tersebut memfitnah Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat kononnya membuat hantaran menghasut orang Cina untuk membenci Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu papan tanda jalan.
“Hantaran itu sebenarnya dibuat oleh akaun (page) yang menyamar dengan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ tetapi adalah jelas akaun itu bersifat palsu dan tidak berasas,” katanya Tiong Yih dalam kenyataan, hari ini.
Selepas membuat carian dan semakan, tambahnya, hantaran kontroversi yang dirujuk Najib itu sebenarnya dimuat naik oleh pihak ketiga, iaitu akaun dengan nama “Yu Xi Wan Yak” yang langsung tidak ada kaitan dengan Kor Ming mahupun DAP.
Menerusi carian yang sama, beliau turut mendapati wujud beberapa “mirror page” yang menggunapakai nama, reka bentuk dan kandungan yang serupa tetapi sebenarnya palsu.
“Terdapat tidak kurang dari tiga page yang bergelar ‘Nga Kor Ming SuperFans Page’ tetapi bertujuan memesong orang awam serta mencemar nama baik dan reputasi Kor Ming dan juga DAP.
“‘Mirror Page’ palsu tersebut sebenarnya bukan penyokong PH tetapi sebaliknya adalah memihak kepada BN.
“Keterangan ini telah diberi kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan polis,” katanya.
Kata Tiong Yih, Najib cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dan menghasut orang Melayu untuk membenci masyarakat Cina menerusi fitnah terhadap Kor Ming itu.
“Perbuatan ini jelas mencerminkan sikap peribadi Najib sendiri,” tegasnya.
Selain laporan polis, katanya, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta merujuk perkara ini kepada peguam supaya tindakan selanjutnya boleh diambil terhadap Najib.
Turut hadir bersama adalah ADUN Kawasan Menglembu, Steven Chaw, ADUN kawasan Keranji, Chong Zhe Min, Ahli Majlis Bandar Raya Ipoh, Wong Kar Keat serta pemimpin Sosialis Muda DAP. – Roketkini.com