Berita

Insentif RM30 kepada pengguna e-Dompet

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menawarkan rangsangan digital secara one-off bernilai RM30 kepada rakyat Malaysia yang layak bagi mempercepatkan transformasi ke arah penggunaan e-Dompet dalam masyarakat dan peniaga. 

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima insentif berkenaan. 

“Rangsangan digital secara one-off bagi setiap orang boleh ditebus dan digunakan untuk tempoh dua bulan bermula 1 Januari 2020 dan akan tamat pada 29 Februari 2020. 

“Kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan insentif ini yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, hari ini. 

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ekonomi digital hanya boleh direalisasikan jika rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga tanpa tunai. 

“Berdasarkan Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) 2011 hingga 2020, Malaysia boleh menjimatkan kira-kira 1 peratus daripada KDNK setiap tahun dengan beralih sepenuhnya kepada e-Bayaran. 

“Pada tahun 2018, jumlah urus niaga pembayaran mudah alih meningkat 20 kali ganda kepada lebih 34 juta transaksi berbanding kurang daripada 2 juta transaksi pada tahun 2017,” ujarnya. – Roketkini.com