Berita

Kementerian Kesihatan terima peruntukan RM30.6 bilion

Peruntukan Kementerian Kesihatan meningkat daripada RM28.7 bilion pada 2019 kepada RM30.6 bilion pada 2020, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. 

Ia merangkumi:

Pertama: RM1.6 bilion untuk membina hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada. Ini termasuk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah; 

Kedua: Sebanyak RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters. Untuk itu, klinik baharu akan dibina di Setiu, Sungai Petani dan Cameron Highlands serta Kudat dan Tawau di Sabah, dan Long San dan Sungai Simunjan di Sarawak; 

Ketiga: Sejajar dengan prinsip budaya Memperbaiki, Mengganti dan Memulihkan (3R – Repair, Replace and Restore) sebanyak RM227 juta disediakan untuk menaik taraf peralatan perubatan, manakala RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian; 

Keempat: Sebagai memenuhi salah satu janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta akan disediakan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak; 

Kelima: Bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan trauma lebih responsif, RM59 juta akan diperuntukkan untuk menambah bilangan ambulans melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulans NGO; 

Keenam: Sejumlah RM31 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara perkhidmatan ICT, antara lain melaksanakan projek rintis bagi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital; dan 

Ketujuh: Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan untuk mencapai liputan kesihatan sejagat, sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya Orang Asli mendapatkan rawatan perubatan. – Roketkini.com