Berita

Kerajaan PH belanja RM810 juta untuk kebajikan masyarakat FELDA

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini termasuk RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 peneroka.

Selain itu, RM300 juta juga akan diperuntukkan untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka, RM100 juta bagi bekalan air FELDA dan RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka FELDA.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini turut mengumumkan peruntukan RM738 juta untuk RISDA dan FELCRA. 

“Ia untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil RISDA dan 100 ribu peserta FELCRA.

“Di samping itu, Kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian,” katanya. – Roketkini.com