Berita

Kerajaan tak berhasrat laksanakan semula GST – Guan Eng

Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, hari ini. 

Malah, tambahnya, kadar inflasi negara berkurang ke tahap terendah sejak 2007 selepas pemansuhan sistem cukai tersebut.

Katanya, kerajaan berjaya mengawal inflasi pada 0.2 peratus dalam separuh pertama 2019, berbanding satu peratus pada 2018 dan 3.7 peratus pada 2017.

“Angka-angka ini membuktikan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan di bawah pentadbiran sebelum ini telah menyumbang dengan ketara kepada harga yang lebih tinggi. 

“Dengan menghapuskan GST pada kadar 6 peratus pada Jun 2018 dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018, kadar inflasi negara telah berkurang ke tahap terendah sejak 2007,” katanya. – Roketkini.com