Berita, Rencana

Tuduhan LTTE: DAP harap wakil rakyatnya tabah, yakin mereka tak bersalah

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP, Ahli Parlimen Bagan dan Menteri Kewangan)

DAP percaya dua Ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) berhubungan dengan dakwaan kaitan mereka dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) adalah tidak bersalah. Keterlibatan mereka dalam DAP selama ini tidak menunjukkan sebarang tanda penglibatan dengan aktiviti yang terpesong daripada pendirian parti untuk menolak keganasan, moderasi, dan penyelesaian damai. 

Penangkapan itu mengejutkan dan saya telah menyatakan kepada pihak berkuasa bahawa parti DAP berdiri teguh dengan dua penggubal undang-undang negeri, Exco Negeri Melaka dan Adun Gadek G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya P Gunasekaran.

Saya baru sahaja diberitahu yang kedua mereka akan tertakluk kepada siasatan di bawah SOSMA yang membenarkan 28 hari tahanan. Polis menjanjikan siasatan segera untuk membolehkan penyerahan kertas siasatan mereka ke Jabatan Peguam Negara dan membolehkan kedua pemimpin DAP kami dibebaskan secepat mungkin.

Pihak Polis juga mendakwa mempunyai bukti konkrit untuk membuat tangkapan sedemikian dan telah merujuk kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan di peringkat tertinggi sebelum mengambil tindakan. Saya juga dimaklumkan walaupun lebih ramai individu akan ditangkap atas dakwaan kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan ditahan.

DAP akan menyediakan khidmat guaman untuk mewakili dua pemimpin DAP kami yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bukit Glugor Ram Karpal dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer. Pihak Polis juga berjanji untuk memberikan kedua ADUN kami akses kepada ahli keluarga dan peguam mereka. Kedua-dua ADUN kami dipuji oleh pihak polis kerana memberikan kerjasama penuh dan tenang dengan pihak polis semasa penahanan mereka.

Saya juga telah meminta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP M. Kulasegaran untuk mewakili parti dalam berhubungan dengan pihak berkuasa yang berkaitan, para penggubal undang-undang kami dan ahli keluarga. DAP berharap bahawa kedua-dua wakil rakyat kami akan tabah dengan cabaran ini, dengan keazaman dan kepercayaan yang kebenaran itu bukan sahaja akan diketahui tetapi juga akan membebaskan mereka. – Roketkini.com