Berita

Kerajaan PH rangka undang-undang lindungi hak pekerja ekonomi gig

Kerajaan Pakatan Harapan prihatin terhadap kebajikan pekerja dalam sektor ekonomi gig dan sedang merangka undang-undang dan peraturan khas bagi melindungi hak mereka. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditubuhkan bagi mengkaji perkara itu.

Tambah beliau, KSM juga akan menjalankan kajian terperinci berhubung takrifan perundangan dalam ekonomi gig selaras perubahan kepada Industri 4.0.

Katanya lagi, sistem ekonomi baharu yang memberi manfaat besar kepada golongan muda seperti itu perlu diteliti dari sudut perlindungan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ekonomi gig adalah sistem pasaran terbuka yang mana pekerja bebas mengikat kontrak untuk melaksanakan sesuatu projek dalam jangka masa tertentu dan kebiasaannya dilaksanakan secara bebas.

“Sebagai trend yang baharu di mana pekerjaan kini lebih fleksibel, kerajaan menghadapi cabaran dalam menjaga kebajikan pekerja berikutan hubungan pekerja dan majikan yang kurang jelas.

“Inilah cara baharu mereka bekerja dan kita dapati ramai yang mendapat manfaat daripada ekonomi gig.

“Oleh sebab itu kerajaan perlu kekalkan sistem ini tetapi kita mahu supaya diadakan peraturan yang melindungi hak pekerja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkenaan keseimbangan kehidupan pekerja ‘gig economy’. – Roketkini.com