Berita

Kementerian Pendidikan peruntuk RM48 juta untuk ambil guru ganti

Sejumlah RM48 juta akan diperuntukkan untuk pengambilan seramai 21,656 guru ganti pada tahun ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru ketika ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Menurut beliau, jumlah peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM40 juta yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun lalu.

Tambah Nie Ching, masalah kekurangan guru timbul berikutan masalah ketidakseimbangan antara kekosongan yang ada berbanding  berbanding jumlah guru yang menamatkan pengajian daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.

“Kalau saya boleh bagi contoh seperti keperluan guru di sekolah kebangsaan pada tahun ini melebihi 6,000 orang, tetapi mereka yang tamat pengajian di IPGM hanya 1,676 orang yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah pada November ini.

“Jadi untuk mengatasi masalah ini, kementerian mengambil inisiatif melatih guru interim pada Februari akan datang dan jumlah yang kita sasar seramai 3,000 orang untuk sekolah kebangsaan dan 800 orang lagi untuk sekolah jenis kebangsaan Cina,” katanya semasa sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kata Ahli Parlimen Kulai itu, kerajaan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan sewajarnya bagi pengambilan guru ganti mengikut kedudukan kewangan semasa kerajaan.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, cadangan untuk mewujudkan perjawatan pengkeranian bagi meringankan beban tugas guru masih dalam peringkat kajian. 

“Buat masa ini, pendekatan guru interim telah dilaksanakan dan kita berharap bahawa tidak lama lagi kita dapat mewujudkan satu penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi isu itu,” katanya. – Roketkini.com