Berita

DAP parti untuk semua anak Malaysia – Nga Kor Ming

DAP adalah parti untuk semua anak Malaysia dan bukan mewakili satu-satu kaum sahaja, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming seperti dipetik Sinar Harian. 

Beliau turut menolak dakwaan orang ramai bahawa DAP hanya memperjuangkan hak kaum-kaum tertentu. 

“Sebenarnya sekarang pun enam negeri yang Pakatan Harapan (PH) perintah, ada orang Melayu dari DAP menjadi Exco Negeri.

“Oleh itu kalau nak kata DAP memihak kepada mana-mana satu kaum, sebenarnya ia adalah persepsi kurang tepat,” katanya seperti dipetik akhbar itu. 

Kor Ming yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung DAP dalam pada itu berkata satu jawatankuasa khas bagi memantau dan memastikan janji dalam manifesto PH dapat dilaksanakan harus ditubuhkan. 

Katanya, jika ada janji yang tidak dapat dilaksanakan, ia harus diperjelaskan kepada rakyat. 

“Dan saya rasa rakyat akan faham situasi sebenar. Contohnya, kerajaan janji nak mansuhkan tol tapi disebabkan skandal kewangan 1MDB dan lain-lain, kerajaan hadapi kekangan kewangan.

“Memang tak boleh buat maka adalah penting pemimpin kerajaan tonjolkan diri, memohon maaf dan ceritakan keadaan sebenar.

“Mungkin tidak berlaku pada hari esok tetapi ia boleh dilakukan secara berperingkat seperti kita bagi diskaun,” katanya. – Roketkini.com