Berita

Pulau Pinang umum bantuan khas setengah bulan gaji

Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) akhir tahun berjumlah setengah bulan gaji atau minimum RM1,000, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. 

Pembayaran yang melibatkan keseluruhan 3,996 penjawat awam dengan peruntukan berjumlah RM5.42 juta itu akan mula dibayar pada Disember tahun ini. 

“Adalah diharapkan bayaran BKK ini akan mendorong penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun akan datang,” ujarnya dalam pembentangan Belanjawan 2020 Pulau Pinang di Komtar, hari ini. 

Selain itu, Kon Yeow turut mengumumkan bayaran sebanyak RM300 seorang kepada 1,594 penyelia dan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), 275 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 583 guru dan staf Sekolah Persendirian Cina.

Sementara seramai 252 guru tahfiz, guru pondok dan guru TADIS pula akan menerima bayaran RM200 seorang. 

“(Ia) melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM841,500 kepada kumpulan ini akan juga dibayar pada Disember 2019,” ujarnya. – Roketkini.com