Berita

Syahredzan sokong jika SOSMA dipinda untuk keluarkan peruntukan bermasalah

Peguam, Syahredzan Johan secara peribadi berpegang dengan pendirian bahawa undang-undang zalim seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) harus dimansuhkan.

Pun begitu, beliau sedar bahawa dalam manifesto pada PRU14 lalu, Pakatan Harapan hanya berjanji untuk “memansuhkan peruntukan-peruntukan zalim” dalam undang-undang seperti SOSMA.

“Jadi, sekiranya SOSMA itu dipinda supaya peruntukan-peruntukan yang bermasalah dikeluarkan, saya akan sokong.

“Buat masa ini, saya mahu tunggu dan lihat apakah pindaan yang akan dilakukan (kerajaan),” katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa kerajaan akan meminda SOSMA dengan secepat mungkin.

Menurut Dr Mahathir, undang-undang berkenaan akan disalah guna jika tidak dilakukan pindaan.

“Kita telah adakan dua mesyuarat tertutup tentang keperluan meminda undang-undang yang dianggap draconian (zalim) walaupun kita mungkin tidak dapat undang-undang itu sama sekali, tetapi kita akan ada perubahan bahagian-bahagian yang dikatakan draconian seperti menangkap dan simpan dalam tahanan tanpa dihadapkan dan dikenakan pertuduhan (di mahkamah) kita akan pinda termasuk terdapat dalam SOSMA umpamanya.

“Itu akan dilakukan secepat mungkin. Kita dapati bahawa kalau ia tidak dilakukan akan ada kemungkinan ia akan disalahgunakan,” katanya pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan, semalam. – Roketkini.com