Berita, Rencana

Kanak-kanak sebagai pemegang taruh dalam Visi Kemakmuran Bersama 2030

Oleh Lim Yi Wei

(Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku di Selangor

Pada setiap 20 November, Unicef menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia dengan kempen #KidsTakeOver. Kanak-kanak akan mengambil alih di siaran radio, politik dan bidang-bidang lain untuk mengutarakan isu-isu yang mereka rasa penting bagi diri mereka. Di bawah program anjuran Unicef Malaysia, Project ID dan Undi18, 20 lebih pelajar sekolah menengah dari seluruh negara telah membentangkan idea mereka tentang dasar menangani masalah buli kepada ahli-ahli Parlimen pada petang ini. Saya cukup bertuah dapat bertemu dengan mereka sehari sebelum pembentangan mereka, dan berpeluang berkongsi pengalaman sebagai seorang wakil rakyat muda serta membantu mereka “warm up” untuk pembentangan tersebut! Semoga Yang Berhormat-Yang Berhormat yang mendengar mengambil serius idea-idea para pelajar ini. 

Sedangkan Visi Kemakmuran Bersama 2030 dibincangkan dari segi peluang pekerjaan dan kemajuan ekonomi, ia juga patut meliputi kebajikan kanak-kanak agar dapat memberi harapan suatu kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.

Perkahwinan kanak-kanak

Pada Disember 2018, negeri Selangor telah meminda enakmen bagi menaikkan usia minimum perkahwinan dari 16 ke 18 tahun. Mesti dikatakan bahawa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Sultan Selangor merupakan seorang penyokong pindaan ini. Negeri-negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda enakmen masing-masing ialah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, seperti yang dilaporkan di Parlimen pada minggu ini.

Walaupun kebanyakan diskusi fokus terhadap perkahwinan kanak-kanak antara golongan Muslim, kita tidak boleh mengabaikan fakta bahawa perkahwinan kanak-kanak antara golongan bukan Islam telah meningkat kira-kira 20% setiap tahun sejak tahun 2015. Organisasi masyarakat sivil telah menyebut tahap kemiskinan bandar yang kian meningkat dan kekurangan pendidikan seks atau reproduktif sebagai faktor penyebab.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah pun mengumumkan bahawa draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Faktor Perkahwinan Kanak-Kanak 2020-2025 sedang dalam peringkat akhir penyediaannya. Pelan tersebut akan melibatkan 16 agensi kerajaan pada peringkat persekutuan dan negeri. Ini merupakan perkembangan yang baik, tetapi lebih banyak usaha diperlukan bagi mendidik masyarakat dan meyakinkan tujuh negeri yang masih tidak bersetuju agar mereka meminda enakmen masing-masing berkaitan perkahwinan kanak-kanak.

Selain itu, KPWKM telah melaksanakan inisiatif pendidikan seks dan menangani isu remaja hamil. 5 video kartun yang mendidik kanak-kanak tentang perbezaan antara “safe touch” (sentuhan selamat) dan “bad touch” (sentuhan jahat) telah dilancarkan melalui medium YouTube sejak bulan Julai 2019. 5 video itu telah disambut dengan baik, di mana bilangan tontonan salah satu video itu sebanyak 1.2 juta. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga telah merangka program Pendidikan Seks dan Reproduktif bagi kanak-kanak lelaki agar mereka diajar supaya menghormati wanita dan undang-undang.

Bagi menangani isu pembuangan bayi, talian hayat Talian Kasih 15999 telah diuar-uarkan seluasnya. Iklan Talian Kasih kini ditayangkan di 35 lokasi panggung wayang TGV di seluruh negara. Posternya ditampal di tandas R&R lebuhraya PLUS. Pada bulan October 2019, timbalan menteri Yang Berhormat Hannah Yeoh telah mengumumkan bahawa kedai farmasi juga akan memaparkan poster Talian Kasih. Tempat perlindungan bayi (“baby hatch”) yang disediakan oleh Orphancare di negeri Selangor, Johor dan Kedah serta 9 buah hospital KPJ. Di Petaling Jaya, baby hatch Orphancare terletak di Seksyen 5, Bukit Gasing.

Kesihatan mental kanak-kanak

Semenjak Talian Kasih diuar-uarkan, muncul pula satu fenomena baru: kanak-kanak mengadu kesunyian di Talian Kasih. Talian hayat Befrienders juga telah melaporkan bahawa kanak-kanak semuda 10 tahun mengirim e-mel untuk meluahkan perasaan tentang kemurungan.

Impak media sosial kepada kesihatan mental kanak-kanak menjadi perhatian ramai apabila seorang remaja perempuan berumur 16 tahun membunuh diri setelah membuat Instagram poll. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kita patut menghalang kanak-kanak dari mengggunakan teknologi terkini. Hakikatnya, generasi muda dibesarkan dan dibiasakan dengan teknologi. Kanak-kanak sekecil 2 tahun pun pandai menggunakan iPad untuk menonton Baby Shark. Oleh itu, kita mesti mendidik anak supaya mereka cekal dan celik dalam penggunaan teknologi terutamanya media sosial. Apabila saya berjumpa dengan murid-murid, saya selalu menggalakkan mereka untuk meningkatkan ilmu dalam bidang yang diminati mereka. Minat Blackpink? Belajarlah tarian KPop melalui YouTube. Apabila kita sedar akan keupayaan diri kita, faktor rupa menjadi kurang penting dalam keyakinan diri kita.

Keselamatan kanak-kanak dan isu buli

Mengambil kira kes-kes kematian kanak-kanak di pusat jagaan atau pengasuh, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) telah melaksanakan program “Jom Daftar Taska dan Pusat Jagaan”. JKM Selangor turut melancarkan kempen “Sayangi Anak, Kenali Pengasuh” pada Ogos 2018. Susulan dari itu, saya telah bertanya di Sidang DUN pada bulan Julai 2019 mengenai statistik terkini pusat jagaan yang berdaftar. Dari September 2018 hingga Jun 2019, 160 buah pusat jagaan telah berdaftar. Kerajaan Negeri Selangor juga sedang membina pangkalan data pengasuh bagi kegunaan ibu bapa yang dinamakan i-Asuh. I-Asuh dijangka akan siap bulan ini.  

Pusat Berdaya Wanita (PWB) DUN Kampung Tunku bersama Penggerak Belia Tempatan kami telah menganjurkan bengkel cegah buli bagi ibu bapa dan para guru. Semasa bengkel itu, kami mendapati bahawa semua pihak mengalami keraguan dalam menangani isu buli, sama ada ia murid, ibu bapa atau guru. Apatah lagi dalam kes di mana cikgu pula menjadi buli.

Melalui program #KidsTakeOver, masyarakat sivil berjaya memperkasakan kanak-kanak untuk berani meluahkan pendapat kepada orang dewasa dan masyarakat umum. Masyarakat perlu membalas keberanian ini secara ikhlas dan prihatin. Kadang kala kita mendengar komen bahawa “itu cara zaman kita, kenapa zaman ini tak boleh pula?” ataupun “generasi muda ini lembik”. Pendapat saya, kita boleh buat lebih baik dari dahulu. Kita harus berusaha untuk mengubah norma masyarakat yang tidak berfaedah malah merbahaya. Misalnya, budaya “ragging” yang biasanya berlaku di sekolah berasrama menyumbang kepada kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain; stereotaip bahawa “lelaki jati kena menunjukkan sifat kejantanan” yang menyebabkan T. Nhaveen dibunuh rakan-rakannya.

Kesimpulan

Sempena minggu Hari Kanak-kanak Sedunia ini, saya berharap bahawa rakyat Malaysia boleh mengubah perspektif kita terhadap kanak-kanak. Mereka bukan sahaja harapan masa depan, tetapi pemegang taruh yang penting pada masa kini. Keupayaan kita mewujudkan keadaan yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak kita sekarang akan menjamin masyarakat yang lebih baik bagi generasi yang akan datang. – Roketkini.com