Berita

Rakyat sambut baik cadangan pembinaan LRT Bayan Lepas

Majoriti penduduk Pulau Pinang menyokong pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringat (LRT) Bayan Lepas. 

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow seramai 22,6788 responden atau 97.7% yang menyertai sesi penyertaan awam menyokong pelaksanaan projek tersebut. 

“Jadi, jumlah responden yang diterima ini adalah ‘pengukuran’ sokongan terhadap cadangan projek LRT (Bayan Lepas),” ujarnya seperti dipetik Buletin Mutiara. 

Sesi pemeriksaan awam melibatkan 23,218 responden itu dijalankan selama tiga bulan dan berakhir pada 19 November lalu. 

Daripada jumlah tersebut, hanya 540 responden yang menyatakan bantahan. 

Sesi pemeriksaan awam berhubung projek itu dijalankan sebagai menepati sebahagian syarat yang dikemukan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). 

Tujuan sesi pemeriksaan awam diadakan adalah bagi membolehkan pemegang taruh (stakeholder) dan orang ramai memberi pandangan terhadap cadangan pelaksanaan projek.

Seterusnya pihak pemohon iaitu kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan dalam borang maklum balas yang diterima.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberikan keterangan dan penjeleasan sewajarnya berhubung sebarang isu yang berbangkit berkenaan projek berkenaan menerusi rakan pelaksana projek, SRS Consourtium. 

“Antara isu-isu yang dibangkit termasuklah lokasi jajaran, jarak stesen dan isu kesesakan lalu lintas semasa pelaksanaan projek… itulah pertimbangan lazim yang dikemukakan (oleh responden).

“Tidak semestinya mereka (responden) yang membantah ini tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan ini, sebaliknya mereka mempunyai pertimbangan tertentu seperti yang dinyatakan (dalam borang maklum balas),” jelasnya.

Projek LRT Bayan Lepas adalah antara projek yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) merangkumi jajaran keseluruhan 29.9 kilometer membabitkan 27 stesen.

Jajaran itu akan melalui Gelugor, Bayan Baru, Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum berakhir di tapak cadangan tebus guna projek PSR. – Roketkini.com