Berita

DAP jawab fitnah ‘rekrut 100 cybertrooper’ Najib

Penyebaran berita palsu di laman sosial seperti Facebook dan Twitter seperti tak berkesudahan, saban hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan khabar berbaur fitnah yang bersifat separuh masak. 

Penyebaran berita palsu itu pula sering disasarkan kepada kerajaan Pakatan Harapan dengan tujuan untuk membantutkan kerja-kerja memakmurkan rakyat dan negara setelah dirosakkan rejim lama Barisan Nasional. 

Malah, berita palsu dijadikan senjata oleh pemimpin-pemimpin parti yang kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu untuk menaburkan kebencian terhadap kerajaan yang mentadbir hari ini, malah berniat untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Justeru, perlu ada satu mekanisme bagi mengekang penyebaran serta menjawab berita-berita palsu tersebut. 

DAP, yang merupakan sebuah parti kerajaan yang sering dilemparkan fitnah oleh pihak lawan sejak PRU lalu mengambil pendekatan untuk menawarkan pekerjaan kepada individu yang mahu bersama-sama parti ini untuk melawan penyebaran berita palsu dan fitnah. 

Itu yang cuba ditegaskan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam sidang media hari ini sebagai menjawab dakwaan Najib Razak yang mempolitikkan iklan kerja kosong yang disiarkan DAP di sebuah laman sesawang pencarian kerja.

Najib, yang sememangnya dikenali sebagai “kaki penipu” menerusi hantaran-hantaran di Facebook, mengulang taktik fitnah yang sama apabila mendakwa kononnya DAP mahu merekrut 100 cybertroper menerusi penyiaran iklan berkenaan. 

Tony sebaliknya menegaskan bahawa DAP hanya mahu mencari pekerja rasmi dan bukannya cybertroper, untuk berkongsi aspirasi dan sama-sama berjuang melawan penyebaran berita palsu yang semakin membarah. 

Malah, cybertroper yang secara lazimnya dikaitkan dengan individu yang menyorok di balik tabir dan melakukan penyebaran berita palsu serta fitnah, tidak selari dengan apa yang diperjuangkan DAP, iaitu untuk menyebarkan maklumat yang benar dan tepat kepada rakyat. 

“Cybertroper berhujah tanpa fakta. Yang kita mahukan bukan cybertroper tetapi pekerja yang melakukan kerja-kerja rasmi parti DAP.

“Seperti yang disebutkan dalam iklan (kerja) tersebut, kami mencari pekerja yang ingin membina Malaysia yang baru, melawan berita palsu dan membina pengalaman mereka,” tegas Tony.

Beliau turut menegaskan bahawa DAP tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mengajikan “100 cybertroper” seperti yang didakwa Najib. 

“Hanya dalam mimpi kita mampu rekrut 100 orang cybertroper,” katanya secara berseloroh. 

Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Najib kerana membantu DAP menguar-uarkan iklan kerja kosong tersebut.

“Terima kasih Najib, jumlah pemohonan (kerja) telah meningkat sekurang-kurangnya empat kali ganda dalam satu hari selepas beliau membantu kita mempromosikan iklan tersebut,” ujarnya secara berseloroh. – Roketkini.com