Berita

DAP prihatin kebajikan polis

Kenyataan media Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng

Polis DiRaja Malaysia (PRDM) telah menerima 150 buah kerusi pejabat baru sumbangan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Pada 6 Disember 2019, Lim telah menyerahkan sebuah kerusi pejabat kepada Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah sebagai simbolik penyerahan 150 buah kerusi baru yang telah diterima oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Turut bersama Ahli Parlimen Kepong ialah pengerusi Amanah Kepong Dato’ Mohd Noor Ali Akbar dan pengerusi Bersatu Kepong Dato’ Mazlan Hashim.

Sejumlah 150 buah kerusi tersebut akan diagihkan kepada Balai Polis Kepong, Balai Polis Jinjang dan lain-lain tempat.

Dalam ucapannya Lim berkata, beliau sangat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota polis.

“Saya sangat mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota polis yang bekerja dari siang ke malam tanpa mengira waktu. 

“Bahkan, pegawai penyiasat atau lebih dikenali dengan panggilan IO sering kali dikehendaki berada di pejabat sehingga lewat malam mahupun awal pagi,” katanya dalam satu majlis ringkas di IPD Sentul.

Justeru, beliau berkata, kerusi pejabat yang selesa dan berkualiti amat mustahak bagi anggota polis yang bertugas.

Lim berharap dengan kerusi yang baru ini dapat menaikkan semangat dan motivasi polis di kawasan Parlimen Kepong.

Dato’ Mohd Noor Ali Akbar dan Dato’ Mazlan Hashim turut berkata, Pakatan Harapan Kepong sentiasa menjaga kebajikan PDRM dan akan memberikan bantuan peruntukan dari segi infrastruktur dan peralatan kepada PDRM bagi menaik taraf perkhidmatan awam. – Roketkini.com