Berita, Rencana

Peranan Parlimen terus diperkasa dalam era Malaysia Baharu

Oleh Nga Kor Ming

(Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Setiausaha Agung DAP)

Sistem demokrasi berparlimen adalah sistem yang diamalkan oleh negara kita. Institusi Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara adalah institusi paling penting untuk memastikan sistem demokrasi negara kita terus subur dengan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan. Justeru itu, Reformasi Parlimen adalah agenda penting dalam era Malaysia Baharu. Perlu diingatkan bahawa agenda Reformasi Parlimen juga merupakan janji ke-16 manifesto Pakatan Harapan (PH) yang terkandung dalam Buku Harapan. 

Pada 2019, pelbagai langkah reformasi atau penambahbaikan telah dilaksanakan dan usaha ini mula membuahkan hasil. Antara 11 pencapaian positif Reformasi Parlimen adalah seperti berikut:

1. Buat pertama kali dalam sejarah, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) disandang oleh wakil pembangkang. Ini bagi memastikan PAC terus memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan.

2. Penubuhan 11 Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipengerusikan oleh wakil kerajaan termasuk wakil pembangkang. Dalam aspek ini, PH berjaya mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) buat pertama kalinya telah dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk sesi libaturus dan kajian. Ini membuktikan bahawa Parlimen bukan lagi “rubber stamp”. Selain itu, 11 Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga telah mengadakan lebih 130 kali mesyuarat sepanjang tahun 2019.

3. Bagi pelaksanaan sistem Jawatankuasa Pilihan Khas, Parlimen Malaysia telah berjaya mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar Parlimen UK, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand sebagai rujukan. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibentang di Parlimen untuk dibahas. Contohnya laporan PAC berkaitan dengan wang GST RM19.4 billion yang hilang, telah dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat. PAC juga adalah jawatankuasa yang paling aktif. Sepanjang tahun ini PAC sudah mengadakan mesyuarat sebanyak 77 kali dan ini juga merupakan rekod tertinggi dalam sejarah. 

Terima kasih juga kepada Kementerian Kewangan yang meluluskan RM3 juta bagi memastikan langkah pembaharuan ini berjalan dengan lancar termasuk mengupah kakitangan tambahan. 

4. PH berjanji bahawa Parlimen akan bersidang sehingga 100 hari. Parlimen Malaysia sedang berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat tersebut. Dari 53 hari pada 2017, 58 hari pada 2018, 68 hari pada 2019 dan pada 2020, Parlimen akan memanjangkan tempoh bersidang kepada selama 77 hari. Pertambahan melebihi 30%. 

5. Pindaan kepada perintah tetap selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti. Pindaan terhadap Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan Peraturan Mesyuarat Perkara 83 dan Perkara 85 dilakukan supaya mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas boleh diadakan secara terbuka serta mempunyai kuasa untuk memanggil siapa saja sebagai saksi termasuk Perdana Menteri. Langkah ini membuktikan Parlimen kini sedang menuju ke arah pentadbiran yang lebih telus, bersih dan penuh akauntabiliti. Perintah Tetap 17 juga dipinda supaya Ahli Parlimen boleh bertanya soalan tambahan semasa mesyuarat di kamar khas berkenaan urusan pentadbiran kerajaan. 

6. Hari Menteri Menjawab. Sesi soal jawab lisan kini menjadi lebih berkesan dengan had masa yang ditetapkan. Produktiviti sesi soal jawab telah meningkat 100%. Sebelum ini, Menteri hanya sempat menjawab sekitar lapan soalan dalam sesi waktu pertanyaan lisan, kini telah meningkat kepada 15 soalan. Sistem Hari Menteri Menjawab juga diperkenalkan supaya Menteri boleh memberi tumpuan dalam melaksanakan tugas kementerian kerana tidak perlu hadir ke persidangan Parlimen setiap hari. Selain itu, pada era Malaysia Baharu, Parlimen tidak lagi bersidang sehingga subuh atau awal pagi. Kini waktu bersidang tidak melebihi jam 12 malam. 

7. Kedai pintar pertama Parlimen di dunia telah ditubuhkan di Parlimen Malaysia.

8. Siri syarahan speaker. Tokoh akademik dan pemimpin luar negara kini dijemput untuk memberi kuliah apabila mereka melawat Parlimen. Sebagai contoh Speaker Singapura, Tan Chuan Chin; Pegawai Parlimen UK, Sir David Natzler dan pegawai Parlimen Australia, David Elder telah menyampaikan kuliah di Parlimen. Program seperti ini mendedahkan kepada anggota Parlimen tentang amalan terbaik Parlimen yang menetapi piawai peringkat antarabangsa. 

9. Buat pertama kali dalam sejarah, Laporan SUHAKAM telah dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat sekaligus mengakhiri penantian selama 19 tahun badan tersebut. Ini membuktikan bahawa Malaysia Baru mengambil berat tentang rekod hak asasi manusia.

10. Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen. Akta baru ini akan diperkenalkan pada Mac 2020. Kelulusan akta baru ini akan menjadikan institusi Parlimen sebuah badan yang bebas selaras dengan doktrin pengasingan kuasa. 

11. Pada 2019, Parlimen juga mula mengaktifkan semula Diplomasi Parlimen untuk mengangkat martabat dan imej negara di persada antarabangsa. Dalam aspek ini, Parlimen Malaysia telah dijemput sebagai wakil rasmi ke Pilihan Raya Presiden Republik Indonesia pada April 2019 dan Pilihan Raya Umum Uberkizhtan. Selain itu, Parlimen juga berjaya menubuhkan lima kumpulan APPG atau All Parties Parliamentary Groups & Parliament Friendship Group dengan 36 buah negara. Ini menunjukkan bahawa institusi Parlimen Malaysia lebih menonjol dalam usaha hubungan dua hala atau hubungan multi lateral dengan badan-badan dunia. – Roketkini.com