Berita

Ambil tindakan tegas terhadap pihak sebar fitnah, apikan sentimen kaum – Kit Siang

Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan menyebarkan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Harapan. 

Katanya, ini bagi memastikan negara tidak menjadi terkebelakang dan gagal disebabkan oleh kenyataan tidak bertanggungjawab yang sengaja berniat memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Beliau merujuk kenyataan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Saifullah Baiduri bahawa peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang selagi Dong Zong wujud. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut merujuk sebuah rakaman video yang memaparkan seorang “ustaz” mendakwa kerajaan Pakatan Harapan kononnya diresapi komunis.  

“Jika Saifullah dan ustaz berkenaan diberi kekebalan dan terlepas daripada sebarang hukuman kerana membuat kenyataan, tidak bertanggungjawab, tidak berasas, mengapi-apikan, bagi menyebarkan kebencian, rasa tidak percaya, ketaksuban dan tidak toleransi di kalangan rakyat Malaysia, Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara yang bersatu padu, demokratik, progresif dan makmur, sebaliknya akan menjadi negara yang keterbelakang, gagal, berpecah-belah,” ujarnya. – Roketkini.com