Berita

MP DAP salur RM640,000 bangunkan Kampung Tradisi Melayu Parlimen Teluk Intan

Gambar: Bersama dengan Keadilan Teluk Intan, Woo Kah Leong telah mewakili Nga Kor Ming untuk menjayakan program kembali ke sekolah di Kampung Padang Tembak.

Kenyataan Media Setiausaha Sulit Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Woo Kah Leong di Teluk Intan pada 29 Disember 2019

Pembangunan adalah hak semua rakyat yang perlu disediakan sebaik mungkin oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Itulah konsep yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan khusunya Nga Kor Ming selaku Ahli Parlimen Teluk Intan.

Pembangunan dan kemajuan tidak lagi sekadar menjadi senjata meraih populariti semasa waktu kempen Pilihan Raya Umum bahkan turut dilaksanakan sebagai kewajipan kepada rakyat. Tiada lagi sikap berat sebelah mengikut fahaman politik di dalam merancang sebarang pembangunan. Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming senantiasa memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan memberi manfaat kepada semua tanpa mengira fahaman politik, perbezaan kaum atau agama.

“Di mana yang memerlukan, di situlah HARAPAN akan ada,” kata Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Teluk Intan, Woo Kah Leong.

Sehingga kini, sebanyak RM640,000 telah disalurkan kepada MPKK-MPKK kawasan Parlimen Teluk Intan bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan bagi jalan, perparitan dan pembentungan. Selain RM220,000 yang dimanfaatkan untuk MPKK di sekitar Daerah Bagan Datuk seperti Sungai Samak dan Sungai Manila, peruntukan Nga Kor Ming juga meliputi kebanyakan kampung tradisi Melayu di Mukim Durian Sebatang dan Changkat Jong.

“Sebagai contohnya Lorong Misdi di Kampung Selabak melibatkan kerja berjumlah sebanyak RM40,000, Lorong Haji Tahir di Kampung Padang Tembak melibatkan kerja berjumlah sebanyak RM60,000, Jalan Sekolah Kebangsaan di Kampung Ayer Hitam dan Jalan Tebuk 4 di Kampung Sungai Kerawai juga berjumlah sebanyak RM30,000 masing-masing. Tidak lupa juga kampung terbesar di bawah Teluk Intan yakni Kampung Bahagia yang menyaksikan kedua-dua Lorong 4A dan 7A  dan yang lain-lain dinaiktarafkan sepenuhnya dengan melibatkan jumlah sebanyak RM90,000 dan banyak lagi MPKK-MPKK lain mendapat nikmat pembangunan yang sama mengikut keperluan masing-masing,” Ulas Woo Kah Leong lagi.

Jika sebelum ini kerajaan BN dikatakan hanya menumpukan pembangunan semasa tahun-tahun akhir PRU dan hanya segelintir kawasan sahaja yang menikmati pembangunan kerana kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang pada ketika itu sering diketepikan daripada memperoleh pembangunan. Namun hari ini kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku kerana pasukan Nga Kor Ming sentiasa berada di padang demi berkhidmat untuk semua. – Roketkini.com