Berita

Pendedahan SPRM: Siasat Najib, Dzulkifli kerana sabotaj negara

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad atas dakwaan mensabotaj negara. 

Ia susulan pendedahan oleh pihak SPRM semalam mengenai sembilan set rakaman percakapan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Salah satu rakaman tersebut memuatkan percakapan didakwa membabitkan Dzulkifli membocorkan maklumat siasatan mengenai kes 1MDB kepada Najib pada 2016. 

“Adalah jelas daripada rakaman tersebut bahawa beliau adalah seorang pengkhianat kerana membocorkan maklumat daripada Pejabat Peguam Negara kepada Najib Razak yang merupakan suspek siasatan kes 1MDB. 

“Ini adalah salah laku jenayah yang serius dan tindakan harus diambil segera terhadap Dzulkifli,” tegas Poay Tiong dalam kenyataan, hari ini. 

“Malah jelas bahawa Najib Razak memberi habuan kepada Dzulkifli Ahmad dengan melantik dia sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Ogos 2016. 

“Oleh itu, Najib dan Dzulkifli telah menjejaskan kredibiliti dan kemampuan SPRM untuk berfungsi sebagai sebuah badan pencegah rasuah yang efektif,” tambahnya yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka. 

Najib kini menghadapi perbicaraan selepas diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada November tahun lalu. 

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu. – Roketkini.com