Berita, Rencana

15 juta rakyat terima insentif e-Tunai bermula esok

Oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

Kerajaan, dengan kerjasama tiga pengendali e-dompet terbesar di Malaysia, melalui peruntukkan RM450 juta akan melancarkan program e-Tunai Rakyat pada hari Rabu, 15 Januari 2020. Mulai esok, setiap rakyat Malaysia berumur 18 dan ke atas berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima RM30 melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet yang terpilih, iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. 

Pengendali e-dompet juga akan menambahbaik pemberian RM30 wang percuma yang dibiayai oleh Kerajaan dengan memberikan insentif tersendiri. Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 wang percuma melalui inisiatif ini. 

Sehingga 15 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada inisiatif Kerajaan ini. Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019. 

Semua penerima boleh memilih salah satu daripada 3 pengendali e-dompet untuk menerima wang percuma RM30 daripada Kerajaan. RM30 tersebut boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali yang dipilih. 

Inisiatif e-Tunai Rakyat ini dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital di kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya di sektor runcit. Oleh itu, Kementerian Kewangan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac 2020 berakhir. 

Ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan bagi memenuhi agenda Kemakmuran Bersama dengan mengurangkan halangan ke arah digitalisasi dan meningkatkan keterangkuman kewangan. Bagi memastikan supaya inisiatif ini akan mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 tersebut perlu dibelanjakan oleh penerima bermula pada 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020. Baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac 2020. 

Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat ini. Ketiga-tiga pengendali e-dompet telah dipilih berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk memastikan supaya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan – Roketkini.com