Berita, Rencana

DAP gesa AS henti gugat usaha perdamaian di Palestin

Oleh Teo Nie Ching
Setiausaha Antarabangsa DAP

Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa Amerika Syarikat agar tidak melaksanakan pelan “Deal of the Century” (DOTC) yang akan menggugat usaha yang telah dijalankan berdekad-dekad lamanya bagi mencapai perdamaian di bumi Palestin.

DOTC tersebut jelas berat sebelah kepada Israel dan telah diputuskan tanpa perbincangan dan persetujuan bersama rakyat Palestin.

Tindakan unilateral Israel-Amerika Syarikat dalam tempoh tiga tahun ini terutamanya dalam isu pengisytiharan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel, penggubalan “undang-undang negara Yahudi” bercirikan apartheid dan pengumuman DOTC sememangnya adalah penindasan terhadap rakyat Palestin. Sekiranya perkara ini berlaku, Amerika Syarikat secara langsung menidakkan usaha pelbagai pihak selama ini untuk membawa perdamaian dalam konflik Timur Tengah.

DAP menyeru agar semua pihak kembali ke meja rundingan terutamanya berdasarkan prinsip yang telah diterima semua dan mengambil kira rakyat Palestin yang merupakan suara paling penting dalam isu ini. – Roketkini.com