Berita

Peralihan kuasa: Kenapa pemimpin PAS panik?

Bantahan pemimpin PAS terhadap peralihan kuasa yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, menimbulkan persoalan. 

Kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, pemimpin PAS dilihat seolah-olah tidak mahu janji peralihan kuasa itu ditunaikan, meskipun sebelum ini mendesak agar PH menunaikan semua janji manifestonya. 

“Mengapakah pemimpin PAS panik mengenai janji peralihan kuasa Pakatan Harapan?” soal Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan, hari ini. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyuarakan yang tempoh peralihan kuasa beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah selepas berakhir Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada akhir tahun ini.

Ia juga akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini.

Bagaimanapun, komitmen PH itu mendapat bantahan Peguam PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa perbincangan mengenai peralihan kuasa kononnya mencabuli kuasa Yang Di-Pertuan Agong. 

“Kenyataan ini membuatkan saya terfikir, daripada manakah beliau mendapat ilmu perundangan beliau. 

“Seorang lagi (pemimpin PAS) pula telah menyatakan yang Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak mempunyai locus standi untuk menentukan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri. 

“Mungkin, jika diperlukan satu bentuk ujian kecerdasan asas, kita akan dapat lihat pengurangan kenyataan tidak masuk akal daripada para ahli politik,” kata Kit Siang.

Sebelum ini timbul ura-ura bahawa parti pembangkang, UMNO-PAS berusaha untuk mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’ dan membentuk ‘Pakatan Nasional’.

Ia bagaimanapun dinafikan oleh pemimpin PH. – Roketkini.com