Berita

Kerajaan PH komited selesaikan isu sekolah daif Sarawak

Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengesahkan telah menerima pembayaran kedua bayaran balik pinjaman sebanyak RM350 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak pada 6 Februari lalu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya telah mengarahkan supaya peruntukan itu disalurkan secepat mungkin kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pelaksanaan fasa kedua projek pembangunan semula sekolah daif di negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menggunakan wang bayaran balik hutang ini yang boleh disalurkan untuk kegunaan lain, diperuntukkan khusus untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak. 

“Kini Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang sebanyak RM1.67 bilion kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan. 

Untuk rekod, pembayaran pertama dengan jumlah yang sama telah diterima oleh Kementerian Kewangan pada 8 Ogos lalu dan telah disalurkan untuk pelaksanaan fasa pertama projek pembangunan semula itu. 

Berhubung status fasa pertama projek itu, kata Guan Eng, 21 daripada 37 sekolah yang terlibat telah ditender di mana enam daripadanya telah menerima Surat Setuju Terima (SST). 


Katanya, dua daripada enam sekolah yang telah menerima SST, iaitu Projek SK Abang Amin, Meradong dan SK Abun Matu, Belaga telah memulakan kerja-kerja di tapak. 

“Baki 15 buah sekolah lagi yang telah ditender akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada 21 Februari 2020,” ujar Guan Eng. 

Pelaksanaan tender 16 sekolah lagi pada Mac

Tambahnya, pelaksanaan tender bagi 16 sekolah lagi dijangka siap Mac tahun ini, selepas KPM dan Jabatan Kerja Raya Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek berkenaan.

Penangguhan itu , katanya, disebabkan oleh beberapa cadangan yang tidak dipersetujui MoF dan Kementerian Kerja Raya antara lain berkenaan penutupan dan penggabungan beberapa buah sekolah rendah untuk membuka sebuah sekolah baharu.

“Cadangan penggabungan ini dikhuatiri akan melibatkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan penempatan komuniti setempat untuk membina sekolah di lokasi baru yang lebih jauh. 

“Keadaan ini mungkin akan menyebabkan keciciran pelajar atas faktor jarak yang lebih jauh serta kos pengangkutan yang tinggi untuk pelajar tiba di sekolah.

“Oleh yang demikian, cadangan penutupan sekolah ini tidak dipersetujui dan harus digunakan untuk memperbaiki sekolah sedia ada tanpa mengurangkan bilangan sekolah,” katanya.