Berita, Rencana

DAP kutuk tindakan khianat, syor Dr Mahathir kekal PM

Kenyataan Media Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng pada 24 Februari 2020 di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP:

DAP mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin dan ahli parlimen PH yang telah mencuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang untuk menggantikan kerajaan sedia ada yang telah dipilih secara demokratik dengan satu pakatan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO, PAS, MCA, dan MIC bersama dengan beberapa pemimpin PPBM dan mereka yang telah dipecat daripada PKR yang dipimpin oleh Dato Seri Azmin Ali. Manipulasi politik ini telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat biasa dan perniagaan.

Dalam menentang cubaan khianat untuk menafikan mandat yang telah diberikan rakyat kepada PH ini, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM.

Saya telah melawat Tun pagi ini di kediaman beliau dan terkejut apabila Tun menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan. Saya juga berhasrat untuk mengesahkan laporan dalam The Edge yang menyatakan “Dr M quits as he does not want to work with UMNO”. Tun Dr Mahathir telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan UMNO apabila kita telah bertungkus lumus untuk menolak UMNO dengan jayanya dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur – Foto: Hasful Zainuddin

DAP ingin memuji pegangan berprinsip Tun Dr Mahathir untuk menolak kerjasama dengan UMNO yang dimana pemimpin mereka terbabit dengan amalan-amalan rasuah yang telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai “kleptokrasi global yang terburuk”. Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah.

Kedudukan berprinsip dan juga konsisten ini dalam menolak UMNO yang korup ini haruslah disokong oleh semua rakyat Malaysia. Oleh itu, DAP berhasrat untuk mengesyorkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam ini untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri supaya Pakatan Harapan dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan. – Roketkini.com