Berita, Rencana

DAP Sarawak sedia kerjasama dengan GPS demi kepentingan negara 

DAP Sarawak bersedia untuk mengetepikan perbezaan yang lalu dan menjalinkan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kepentingan rakyat dan negara. 

Tegas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, pihaknya sanggup mengambil pendirian itu bagi memastikan negara tidak terus terjerumus ke dalam kancah kemusnahan dan kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Saya memohon kepada pemimpin GPS supaya mengetepikan segala perbezaan politik lampau dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke dalam kancah kemusnahan. 

“Bagi pihak DAP Sarawak, kami sanggup berkompromi dan mengetepikan semua perbezaan untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara kita,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

PH dalam kenyataan awal pagi ini, memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Ia selepas Muafakat Nasional dan puak pengkhianat yang diketuai bekas timbalan PKR, Azmin Ali bertindak menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri mereka. 

Sokongan GPS dan Warisan dilihat menjadi penentu kepada kemelut politik hari ini kerana masih belum ada mana-mana pemimpin daripada kedua-dua parti Malaysia Timur itu menyatakan sokongan secara jelas. – Roketkini.com