Berita, Rencana

Apa yang Muhyiddin tak beritahu kita dalam ucapannya semalam?

Tampil buat kali pertama sebagai perdana menteri di kaca televisyen, tentulah Muhyiddin Yasin mahu memintal kata-kata dengan cermat untuk dilihat baik dan murni di mata rakyat jelata. 

Namun, di sebalik lantunan kata-kata yang muluk dan lunak itu (sebagai contoh “saya bukan pengkhianat”), Muhyiddin sebenarnya gagal menjelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan yang disertainya itu terbentuk.

Muhyiddin tidak memberitahu kita yang kerajaan yang wujud hari ini adalah “kerajaan pintu belakang”, hasil pengkhianatan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan beliau sendiri.

Muhyiddin tidak memberitahu kepada kita bagaimana beliau merampas suara-suara rakyat yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan membawa keluar Bersatu, dan mewujudkan kemelut politik di Malaysia.

Muhyiddin juga tidak menerangkan kepada kita bagaimana beliau sanggup bersekongkol dengan perasuah dari UMNO untuk melunaskan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri (walaupun berkali-kali kononnya bertegas tidak mahu memegang jawatan itu)

Muhyiddin mungkin lupa, sosok yang banyak menghulurkan sokongan moral dan solidariti ketika beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri kerana mempersoalkan kerajaan kleptokratik Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Kesimpulannya, “kerajaan pintu belakang” ini wujud atas dasar pengkhianatan kepada mandat rakyat dan persekongkolan dengan puak yang rasuah.

Kalau ini bukan namanya pengkhianatan, apa lagi? – Roketkini.com