Berita, Rencana

PH: Usah cabul hak demokratik rakyat

Pakatan Harapan (PH) meminta pihak berkuasa di bawah kerajaan baharu tidak bertindak keterlaluan sehingga menjejaskan hak demokratik rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. 

Media melaporkan, tiga aktivis sosial sedang disiasat oleh pihak berkuasa berhubung perhimpunan pro-demokrasi yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, beberapa hari lalu. 

Tegas PH, rakyat Malaysia mempunyai hak demokratik untuk berhimpunan dan menyatakan bantahan, selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. 

“Baru lebih kurang dua tiga hari sejak kerajaan kleptokrat dipulihkan melalui percaturan politik pintu belakang, pihak berkuasa kelihatan tangkas bertindak bertentangan dengan nilai-nilai yang selama 20 bulan lalu telah cuba dipupuk oleh kerajaan PH. 

“Ini adalah amat dikesalkan,” kata Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan, hari ini. 

Aktivis Fadiah Nadwa Fikri dilaporkan sedang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung perhimpunan aman ‘Selamatkan Malaysia’ pada malam Sabtu lalu.

Sementara aktivis Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir dilaporkan sedang disiasat oleh pihak polis susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan sama. – Roketkini.com