Berita, Rencana

Inikah yang orang Melayu mahu?

Oleh Izmil Amri

Ramai orang tidak tahu bahawa Hizbul Hurriyah wal-’Adalah (Parti Kebebasan dan Keadilan) pimpinan Almarhum Dr Mohamed Morsi adalah gabungan sebelas buah parti politik Mesir. Ya, sebelas. 

Jika mahu disenaraikan nama parti-parti Arab ini, jenuh juga tergeliat lidah kalau tak tahu membacanya. Tapi untuk suka-suka, nama sebelas parti ini ialah: Hizbul Hurriyah wal-’Adalah sebagai teraju utama, diikuti Hizbul Ghoda Al-Thaurah, Hizbul Karamah, Hizbul Amal Al-Masri, Hizbul Hadharah, Hizbul Islah Wan-Nahdhah, Hizbul Islah (ya, ada dua), Hizbul Jiil Dimuqrati, Hizbul Misri Arabi Al-Isytiraki, Hizbul Ahrar dan Hizbul Hurriyah Wal Tanmiyyah.

‘Pakatan’ Dr Morsi ini mengambil alih kerajaan Mesir daripada rejim Hosni Mubarak pasca revolusi 25 Januari 2011. Morsi menjadi presiden kelima Republik Arab Mesir setelah partinya menang pilihan raya 2012.

Malangnya, kerajaan Morsi hanya bertahan selama 368 hari; dari 30 Jun 2012 sehingga 3 Julai 2013. Rampasan kuasa berlaku setelah protes tiga hari secara besar-besaran oleh rakyat Mesir terhadap kerajaan Ikhwanul-Muslimin, dan kerusi presiden diambil alih oleh Jeneral Fatah As-Sisi. 

Revolusi Mesir pada awalnya dikatakan menuntut hanya tiga perkara: ‘aish (roti), hurriyah (kebebasan) dan ‘adalah ijtima’iyah (keadilan sosial). Berdepan tiga tuntutan ini, kerajaan Morsi sebaliknya menawarkan agama.

“Diminta kerja, diberinya Quran; ya, pastinya marah,” ujar satu komen ringkas di media sosial ketika itu, yang saya ingat hingga ke hari ini.

Berdepan tulisan Zul Fikri Zamir tentang kegopohan parti politik mahukan perubahan, komen di atas muncul semula ke minda saya. 

Adakah Pakatan Harapan dan tentunya parti Hizbul A’mal Ad-Dimuqratiy (Parti Tindakan Demokratik, DAP) telah bertindak bersalahan dengan keinginan rakyat sehingga menghalalkan rampasan kuasa yang baru sahaja berlaku beberapa hari lalu?

Psiki Melayu

Anthony Milner, dalam kajiannya yang dibukukan dengan tajuk ‘Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule’ memberi kita satu ringkasan yang baik tentang jiwa dan akal budi Melayu.

Kajiannya pada 1977 berdasarkan sejarah nusantara itu menyatakan bahawa Melayu ini sebenarnya tidak ada rasa kenegaraan. ‘Alam Melayu’ itu begitu besar ertinya bagi sebuah bangsa yang budayanya suka merantau dan berpindah.

Maka yang menyatukan Melayu adalah faktor makan pakainya, bahasa tutur budayanya, gaya hidupnya dan sehingga satu tahap, kepercayaannya. 

Hatta, pada pandangan ilmuan Barat, Melayu ini, institusi politik pun tidak ada. Pada zaman kesultanan Melayu lama, rakyat jelata tiada masalah untuk mengalih ketaatan mereka daripada satu raja ke satu raja, dan raja-raja ini pula ada waktunya tidak pun tahu di mana mula dan berhujungnya tanah jajahan mereka. 

Bahkan, tulis Milner, ketika Belanda aktif di kepulauan Sumatera sekitar 1860-an, mereka menemukan demikian banyak kerajaan kecil, dengan populasi sekitar ribuan, dan aktiviti harian para elit pemerintahan adalah berbalah merebut takhta dan bergaduh tentang sempadan jajahan.

Ada juga kisah tentang lanun dan bagaimana para raja memperoleh laba daripada hasil rampasan lanun-lanun ini, tapi tak apalah. Lain tahun kita cerita.

Pendeknya, Melayu pada zaman dahulu, menurut kajian itu, sedikit benar mahunya; sekadar cukup makan pakai, taat beraja di mana mereka mencari rezeki, dan diikat dengan akidah serta budaya. Tidak jauh beza sebenarnya dengan Melayu hari ini.

Kita juga melihat bagaimana rakyat marhaen gigih bekerja dan mencari sesuap nasi saban hari; tidak lekang daripada beribadah dan menonton drama di waktu petang, serta merantau jauh ke negeri orang untuk mencari rezeki. Mujurlah demikian, kalau tidak jenuhlah kita perlu mencari nasi kerabu hingga ke Kelantan.

Namun kebergantungan Melayu kepada kerajaan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. Hal kerajaan ini, jelas Milner lagi, adalah suatu konsep yang sukar difahami bangsa Eropah. Kata ‘government’, ‘state’ dan ‘kingdom’ diterjemah Alam Melayu sebagai ‘kerajaan’. Sedangkan ia tidaklah semudah itu.

Orang Melayu memerlukan kerajaan yang menjaga kepentingan mereka. Leluhur Melayu juga begitu; menumpahkan taat setia kepada pemimpin yang diangkat sebagai raja. Kerana itulah selama zaman berzaman kita melihat wakil rakyat sebagai pemimpin, ketimbang kerja hakikinya sebagai anggota legislatif yang bekerja untuk rakyat, dan bukan untuk disanjung-sanjung seolah-olah mempunyai sakti.

Akal budi Melayu tentang hal ini barangkali tidak difahami ramai orang.

“Hang masuk kampung, takkan nak bawak kereta Kancil,” ujar seorang sahabat yang dahulunya pernah bertanding di Kedah. “Orang nampak hang la’eh sangat, macam mana nak undi hang,” tegasnya. Maka untuk kelihatan berkepimpinan, beliau memandu kereta buatan Jerman. 

Atas sebab ini juga, pada pilihan raya umum lalu; Pakatan Harapan mengusung Dr Mahathir Mohamad sebagai sosok pemimpin Melayu. Itulah yang orang Melayu mahu. Ternyata model itu berjaya, dan menanglah Pakatan Harapan menjadi kerajaan, meski buat seketika cuma.

Faham demokrat

DAP, sebagai sebuah parti demokrasi sosial, berpegang pada tiga tunjang besar faham tersebut: kebebasan, kesetaraan dan semangat setiakawan. Ia bekerja dalam kerangka untuk memastikan bahawa seluruh rakyat negara ini tidak dibelenggu rasa takut, dilayan tidak sekata dan terbiar tak terbela. Mudah bukan?

Namun DAP tidak pernah sunyi daripada dimomokkan sebagai parti komunis, sekularis, Kristian, pro-Israel, menyimpan pengganas Sri Lanka dan sebagainya. Kerja momok-momok begini memang mudah. Dan orang Melayu pun mudah percaya. Kita memang sejak dahulu (juga dirakam Milner dalam kajiannya) dibentuk pandangnya tentang orang lain, berdasarkan apa yang dipersembahkan si penglipurlara.

Apabila DAP menganggotai Kabinet Dr Mahathir, apa yang dituntut oleh parti adalah reformasi institusi. Ini termasuklah penggubalan undang-undang, penambahbaikan kecekapan agensi kerajaan, hemat belanja, bantuan bersasar berasaskan keperluan dan beberapa agenda reformasi dasar kerajaan. 

Kebanyakan reformasi dan penambahbaikan ini tidaklah boleh dihidang atas meja untuk digaul bersama nasi. Demokrasi ini bukan boleh dimakan, kata orang. Namun inilah tujuan perubahan demokratik – supaya kesilapan boleh dibetulkan, dan menjadikan yang betul itu suatu kebiasaan baharu. 

Tapi iyalah, ini barangkali bukan yang orang Melayu mahu.

Masalahnya negara ini bukan cuma ada Melayu. Dan bukan pula semua yang Melayu itu mahukan perkara yang sama. Maka DAP hadir membawa suara keinginan warga kecil. Suara itu mungkin terlalu kuat. Maka DAP dimarahi.

Nah, sekarang DAP sudah bukan kerajaan lagi, hasil kerja buat elit politik Melayu yang kini bahagia bersekongkol dengan para penyamun yang masih belum selesai bicara rasuah di mahkamah.

Mungkin inilah yang akhirnya akan memuaskan hati Melayu. Mungkinlah, mungkin. Manalah saya tahu. Saya 25% mamak. Saya cuma mahu nasi kandar. – Roketkini.com

*Tulisan ini kali pertama disiarkan di The Malaysian Insight (https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/225536)