Berita, Rencana

SPRM siasat kekayaan ‘luar biasa’ pemimpin UMNO

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan akan menyiasat Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kekayaan “luar biasa” yang dimiliki Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu. 

Semalam, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau memiliki aset bernilai kira-kira RM800 juta.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata beliau telah mengeluarkan arahan kepada pegawainya untuk menyiasat pemimpin UMNO itu. 

“SPRM berpendapat ini adalah hal yang serius dan saya memberikan arahan agar siasatan dimulakan,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini. 

Kata Latheefa, siasatan SPRM akan memberi penekanan terhadap cara kekayaan itu diperolehi.

Kekayaan Ku Nan terdedah semasa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menjawab soalan pihak pendakwaan berhubung perbicaraan kes rasuahnya.

Beliau dilaporkan berang ketika ditanya berkenaan hal itu, malah mendakwa berasa ditindas. 

Ku Nan berkata beliau mengisytiharkan aset berjumlah RM938,643,566.16 pada 2001 semasa beliau menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Beliau turut mengisytiharkan aset pada 2006, 2013 dan 2016 masing-masing berjumlah RM711,325,822, RM691,770,649 dan RM782,748,061. 

Ku Nan juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. – Roketkini.com