Berita, Rencana

PN tandus pemimpin berkebolehan? – Tengku Zulpuri

Kenyataan Media Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Kuala Lumpur pada 03.06.2020:

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam satu ciapan di Twitter mencadangkan supaya mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diberi peluang untuk bersama-sama pasukan pengurusan kawalan wabak Covid-19. 

Meskipun Annuar Musa mungkin berniat baik, cadangan itu bagaimanapun membuatkan rakyat tertanya-tanya; Adakah kerajaan yang ditubuhkan tanpa mandat rakyat ini (Perikatan Nasional – PN) sudah ketandusan pemimpin yang berkredibiliti seperti Dr. Dzulkefly Ahmad?

Jika jawapannya ya, mengapa Annuar Musa dan rakan-rakannya sanggup menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang telah dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu sewaktu Kementerian Kesihatan yang diterajui Dr. Dzulkefly Ahmad bersama-sama penjawat awam barisan hadapan negara bertungkus lumus berusaha menangani wabak Covid-19?

Seperti yang semua sedia maklum, Dr. Dzulkefly Ahmad menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika menerajui Kementerian Kesihatan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Beliau juga dihujani dengan begitu banyak pujian dan ucapan tahniah daripada pelbagai pihak di dalam negara mahupun antarabangsa atas kejayaannya menangani wabak Covid-19 di Malaysia.

Sehingga hari ini, kerajaan yang tidak menerima mandat rakyat ini masih belum mengumumkan barisan Kabinet. Ini bermakna jawatan Menteri Kesihatan kekal kosong tidak diisi. Saya bimbang, jika keadaaan sebegini terus berlarutan, ia akan mencetuskan rasa panik di kalangan rakyat memandangkan jumlah kes individu yang dijangkiti Covid-19 semakin meningkat sejak kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan. 

Sehubungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku individu yang paling bertanggungjawab dalam hal ini perlu bersikap sewajarnya dengan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan krisis wabak yang dihadapi negara ketika ini. – Roketkini.com