Berita, Rencana

Kabinet PH setuju tunai janji PTPTN, bukan pengumuman kosong – Guan Eng

Kenyataan Akhbar Setiausaha Agong DAP Dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng Pada 8 Mac 2020 Di Kuala Lumpur.

Kerajaan Pakatan Harapan telah meluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (Kabinet) terakhir untuk pelaksanaan Manifesto Pakatan Harapan  yang membenarkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikutip hanya untuk peminjam yang berpendapatan lebih RM4,000 sebulan. Malangnya kerajaan Persekutuan PH tumbang sebelum pengumuman rasmi ini dibuat.

Ini berikutan dakwaan yang menyatakan kenyataan saya sebelum ini tentang perkara tersebut adalah pengumuman kosong. Formula ini telah diusahakan oleh PTPTN dan disokong oleh Kementerian Kewangan, yang membentangkan formula membenarkan bayaran balik PTPTN hanya untuk peminjam yang berpendapatan lebih RM4.000 sebulan.  

PTPTN telah membuat pembentangan kepada mesyuarat Kabinet sebanyak 2 kali sebelum diluluskan. Implikasi kewangan ialah selain daripada tanggungan hutang sedia ada yang telahpun diperuntukkan, ia akan menambahkan tanggungan hutang beberapa bilion ringgit. Kabinet bersetuju bahawa tambahan tanggungan hutang ini perlu untuk mengurangkan beban peminjam PTPTN yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Sepanjang 21 bulan ini, kerajaan PH berusaha secara berperingkat untuk melaksanakan janji Manifesto PH seperti pengurangan pembayaran tol PLUS Bhd untuk Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 18% dan tidak ada kenaikan kadar tol selepas ini. – Roketkini.com