Berita

Steven Sim selar berita palsu kaitkan pemimpin DAP

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab termasuk pemimpin UMNO yang menyebarkan berita palsu berunsur fitnah bahawa kononnya anak seorang pemimpin DAP telah ditahan di Singapura.

Kata Steven, dakwaan itu telah disangkal oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu laporan media hari ini.

Tegasnya, tindakan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) yang turut menularkan berita palsu itu dibuat semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani krisis ekonomi serta wabak Covid-19 yang melanda negara. 

Katanya, keluarga pemimpin DAP yang dikaitkan dengan berita palsu berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu.

“Tujuan taktik jijik ini jelas, iaitu untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kepincangan dan ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin ketara.  

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama-sama melindungi demokrasi kita, melawan kerajaan tanpa mandat, melawan politik fitnah dan melawan politik jahat. 

“Saya juga menyeru agar pihak polis mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penyebar berita palsu tersebut,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang. – Roketkini.com