Berita, Rencana

Guan Eng arah peguam ambil tindakan terhadap ‘Papa Azri’

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 15.03.2020

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin Pemuda UMNO Kebangsaan dan juga terhadap beberapa penyokong BN, UMNO, dan PAS yang telah menyebarkan berita palsu terhadap saya dan anak saya. Seorang pemimpin Pemuda UMNO yang menggunakan nama “Papa Azri” mula menyebarkan penipuan ini dengan mengatakan yang saya telah terbang ke Singapura pada 29 Februari selepas anak lelaki saya ditahan di Lapangan Terbang Singapura kerana membawa wang yang berjumlah RM2 juta tanpa membuat perisytiharan yang sepatutnya.

Berita ini kemudian tersebar pantas dalam kalangan kumpulan-kumpulan penyokong BN dan UMNO, terutamanya di laman web mereka. Bahkan Media Chinese International Limited (MCIL) juga telah terlibat dalam perbuatan ini di mana dalam kesungguhan mereka untuk mencemar nama pimpinan PH, satu akhbar mereka telah menyiarkan berita palsu ini tanpa sebarang pengesahan profesional. MCIL terdiri daripada Sin Chew, Guang Ming, China Press dan Nanyang.

Ketua Polis Negara telahpun menafikan kedua-dua laporan ini sebagai satu perkara yang salah. Pada 29 Februari, saya berada di Kuala Lumpur sepanjang hari dalam cubaan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik dan mandat rakyat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum 2018. Saya berharap pihak Polis dapat mengambil tindakan tegas dan menahan penyebar berita palsu ini yang telah menyakiti individu yang tidak bersalah, bagi melindungi semua rakyat Malaysia.

Keluarga saya berasa marah dengan tuduhan yang tidak bermaruah seperti ini yang telah menjadikan anak kami sebagai sasaran sedangkan mereka tidak pun terlibat dengan politik. Adakah UMNO akan mengambil tindakan terhadap pemimpin dan penyokong mereka yang terlibat dalam perbuatan yang haram, tidak beretika, dan tidak bermoral seperti ini? Adakah kerajaan baharu yang tidak diundi rakyat ini juga akan mengambil tindakan terhadap perbuatan buruk ini?

Jelas sekali, kerajaan baharu yang tidak diundi rakyat ini sedang cuba untuk menyembunyikan kegagalan mereka untuk mengurus krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang melanda negara dengan menggunakan taktik keji sebegini terhadap individu yang tidak bersalah seperti anak saya. Ini bukanlah kali pertama anak saya pernah dijadikan sasaran oleh Papa Azri. Sebelum ini beliau pernah membuat pertuduhan yang kononnya anak saya telah melakukan gangguan seksual kepada rakan sekelasnya, lengkap dengan gambar “mangsa” serangan yang sebenarnya adalah gambar seorang juara catur dari Hong Kong yang tidak pernah berjumpa dengan anak saya sekalipun. 

Membaca tulisan-tulisan penyokong mereka di sosial media yang mempermainkan sentimen perkauman menunjukkan dengan jelas sekali yang kerajaan baharu ini tidak berhasrat untuk menjadi sebuah kerajaan yang mewakili semua rakyat dan komuniti di Malaysia selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, adalah lebih membimbangkan apabila media arus perdana seperti MCIL juga terlibat dalam penyebaran berita palsu seperti ini. Hakikatnya, sikap anti-PH MCIL ini telah lama diketahui ramai, namun begitu untuk mereka secara terbuka menyerang pimpinan PH seperti ini menunjukkan yang mereka masih lagi meraikan kejatuhan kerajaan PH. 

Para pembaca mereka boleh memahami perasaan apabila dibuli dengan penipuan dan ugutan. Tetapi perbuatan MCIL ini menunjukkan yang mereka tidak mempunyai profesionalisme dalam kewartawanan dan perkara ini juga merupakan satu bentuk pembulian terhadap sasaran yang lemah. Sebagai seorang pemimpin politik PH, saya telah bersedia untuk berhadapan dengan penipuan, fitnah, dan ugutan daripada musuh saya. Tetapi lawan politik saya yang kini berkuasa, mereka telah menunjukkan sifat sebenar mereka apabila mereka menyasarkan anak saya yang tidak bersalah. – Roketkini.com