Berita, Rencana

Covid-19: P. Pinang peruntuk RM20 juta bantu golongan terjejas

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan belanjawan tambahan berjumlah RM20 juta menerusi pemberian insentif tertentu bagi membantu meringankan beban golongan terjejas ekoran kesan penularan wabak Covid-19. 

Perkara ini diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada satu sidang media di Komtar, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

“Walaupun Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menampung keperluan mereka yang terjejas akibat penularan wabak pandemik COVID-19, namun Kerajaan Negeri sedar banyak sektor akan menerima impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan semalam terutamanya golongan peniaga kecil serta penjaja.

“Kita masih meneliti bagaimana boleh membantu peniaga-peniaga kecil dan golongan penjaja yang terkesan daripada wabak ini khususnya selepas perintah larangan ini berkuatkuasa.

“Justeru, pihak Kerajaan Negeri akan memperuntukkan bajet tambahan berjumlah RM20 juta untuk pemberian insentif-insentif tertentu supaya dapat membantu meringankan beban golongan terjejas,” katanya dalam sidang media di Komtar, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

Pasukan khas Covid-19

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengumumkan penubuhan pasukan khas  dalam usaha menangani wabak pandemik Covid-19 di Pulau Pinang. 

Ia susulan pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Di peringkat negeri, kata Kon Yeow, pasukan khas Covid-19 akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar dan Jawatankuasa Kecil Komunikasi dan Pemberdayaan Masyarakat di bawah tanggungjawab Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

“Bagi pasukan khas Covid-19, ia sememangnya telah berjalan dan kini kita (Kerajaan Negeri) akan menggerakkannya secara lebih efektif dengan mengadakan mesyuarat setiap hari bermula esok berbanding (mesyuarat) seminggu sekali.

“Bagi memperkasakan lagi pasukan khas ini, Dr. Norlela Ariffin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) serta Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dilantik sebagai ahli selain daripada agensi-agensi yang berada di dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri.

“Manakala, Jawatankuasa Kecil Komunikasi dan Pemberdayaan Masyarakat pula akan bertindak untuk merancang serta melancarkan kempen-kempen komunikasi dengan memberikan maklumat tepat… jika sebelum ini (komunikasi) hanya bergantung kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, tetapi kini kita akan menggerakkan penglibatan semua rakyat dalam membendung wabak ini,” katanya. – Roketkini.com