Berita, Rencana

Perkhidmatan Talian Kasih perlu diteruskan – Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Wanita dan Keluarga mengkaji semula keputusan untuk menutup Talian Kasih di tengah-tengah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan wabak Covid-19.

Katanya, perkhidmatan Talian Kasih wajar diteruskan bagi memberi tumpuan khas perlindungan serta kebajikan kumpulan sasar seperti kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan mangsa keganasan rumahtangga.

“Ini juga untuk memastikan talian 999 atau 112 ini tidak dibebankan dengan isu yang lain dan boleh memberi fokus kepada isu keselamatan berbangkit daripada perintah kawalan pergerakan.

“Talian Kasih mesti dilihat sebagai perkhidmatan perlu (“essential service”) kerana dalam tempoh inilah kumpulan sasar berada pada keadaan paling rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas hebahan Kementerian Wanita dan Keluarga berhubung penutupan sementara perkhidmatan Talian Kasih susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, hasil semakan terkini mendapati hebahan di saluran rasmi kementerian terbabit telah dipadam.  

“Keputusan menutup Talian Kasih buat sementara waktu ini semestinya tidak akan berlaku jika ahli MKN satu ketika dulu merupakan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (yang sekarang ini dianggotai semua lelaki),” ujar Hannah Yeoh yang juga mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.