Berita, Rencana

Perutusan Ulang Tahun ke-54 DAP oleh Setiausaha Agung Lim Guan Eng

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

54 tahun yang lalu, pada 18 Mac 1966, DAP telah ditubuhkan dengan tekad baru untuk menjamin kebebasan, kesaksamaan, integriti, keadilan ekonomi dan demokrasi kepada seluruh Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan gender. Sejak dari mula lagi, walaupun ketika itu hanyalah sebuah parti pembangkang yang kecil, DAP sentiasa berjuang tidak mengenal penat lelah dengan didukung prinsip-prinsip tersebut. 

Berdekad-dekad lamanya, demi memenangi hati Rakyat, DAP terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Ramai pemimpin kami terpaksa berkorban kebebasan mereka, kerjaya mereka, wang ringgit mereka malah disindir sebagai penyokong “parti yang tidak akan menang”, selain berhadapan pelbagai bentuk penindasan rejim Barisan Nasional.

Namun, pemimpin dan ahli-ahli DAP tidak pernah mengalah dan terus berjuang atas keyakinan bahawa perjuangan demi Rakyat Malaysia adalah mengatasi kepentingan diri setiap kami. Kami bermula sebagai parti pembangkang dan ketika itu, meletakkan aspirasi menjadi parti pembangkang yang terbaik. Apabila diberi amanah oleh Rakyat untuk menjadi parti kerajaan, maka kami bertekad untuk menjadi parti kerajaan paling cemerlang. Kejayaan ini terbukti bukan sahaja sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang malah sebagai kerajaan pusat di Putrajaya. 

Hari ini DAP telah hilang kuasa kepada kerajaan baru tanpa mandat Rakyat. Perkara ini jelas merupakan suatu kezaliman di mana pihak yang dipilih rakyat dibelakangi pihak yang kalah pilihan raya. Namun, hilang jawatan tidak bermaksud hilang pendirian. 

Berpandukan keyakinan bahawa suara Rakyat suara keramat yang menentukan hala tuju negara, kami akan terus berjuang dan berkhidmat dalam apa jua keadaan demi Rakyat dan negara Malaysia. Walaupun negara bagai dilanda bala bertubi-tubi semenjak berlakunya krisis politik yang menggantikan kerajaan pilihan Rakyat dengan kerajaan tanpa mandat, kami percaya, selagi nyawa terkandung dalam badan, selagi kita berpegang pada prinsip perjuangan, selagi itu kita mempunyai harapan untuk memulihkan negara kita. 

Sementara itu, Malaysia kini berdepan dengan dwi-krisis wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020, saya berharap Rakyat Malaysia akan kekal bertenang, bersabar serta bersatu menghadapi musibah  ini bersama-sama. 

Golongan paling terkesan merupakan golongan pekerja, B40 dan usahawan kecil dan sederhana. Apabila industri terpaksa ditutup, para pekerja mungkin kehilangan pendapatan mereka. Apabila kerajaan melarang perjalanan keluar negara, 300,000 Rakyat Malaysia yang menyeberangi Selat Tebrau ke Singapura setiap hari untuk bekerja akan terkesan.

Salah satu tindakan terakhir kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk menyiapkan pakej ransangan ekonomi RM20 bilion. Saya berharap langkah-langkah yang dikemukakan akan dilaksanakan serta-merta, terutamanya moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama tiga bulan untuk perniagaan-perniagaan yang terjejas serta bantuan kepada golongan pekerja. Kerajaan juga patut segera menghulurkan talian hayat kewangan kepada 300,000 Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. 

Sekurang-kurangnya, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan kini dapat membantu Rakyat Malaysia mengharungi cabaran di depan mata. Contohnya, Rakyat dilindungi insurans percuma MySalam yang telahpun diperluaskan untuk merangkumi masalah kesihatan kesan daripada Covid-19. Bantuan Sara Hidup yang dijadualkan pada Mei 2020 telahpun diawalkan ke Mac 2020. Para pekerja juga boleh memilih untuk menyumbang 7% berbanding 11% ke dalam KWSP mereka.

Kepada Rakyat Malaysia yang terpaksa bergerak dalam tempoh penuh cabaran ini, sekurang-kurangnya mereka kini membayar kadar tol 18% lebih murah berbanding dulu di lebuhraya PLUS seluruh negara. Dasar ini dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan sejak 1 Februari 2020. Penunggang motorsikal di kedua-dua Jambatan Pulau Pinang serta di Laluan Kedua Johor-Singapura kini tidak perlu bayar sebarang tol. 

Saya berharap semua legasi kerajaan Pakatan Harapan ini akan membantu meringankan beban Rakyat Malaysia sementara kita menunggu tindakan selanjutnya oleh kerajaan baru bagi menyelamatkan industri dan 15 juta pekerja Malaysia. – Roketkini.com