Berita, Kenyataan Akhbar, Rencana

Covid-19: Rakyat perlu jaminan keselamatan ekonomi daripada kerajaan

Oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan

Menjamin Keselamatan Ekonomi buat Pekerja dan Perniagaan Malaysia Ketika Krisis

Pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan di seluruh dunia dan mungkin menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi dunia. Walaupun dengan niat baik, pelaksanaan kawalan perintah pergerakan secara tiba-tiba di seluruh negara telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai dan telah mewujudkan kelompongan ekonomi.

Tugas segera Kerajaan adalah untuk “melandaikan keluk” epidemik COVID-19 (“flatten the curve”). Pada masa yang sama, adalah penting untuk Kerajaan memberi jaminan keselamatan ekonomi buat pekerja dan perniagaan Malaysia dalam masa krisis sebegini supaya kesepaduan sosial terus terpelihara. Dalam situasi getir ini, perpaduan rakyat Malaysia adalah sangat penting.

1. Bantuan tunai segera kepada pekerja Malaysia di seluruh negara

Bantuan kewangan RM600 kepada setiap pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000, yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum 6 bulan, melengkapkan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020. Bantuan ini lebih-lebih lagi perlu disampaikan kepada mereka yang terlibat dalam ‘gig economy’, seperti pemandu e-hailing, pekerja harian yang hilang punca pendapatan, serta mana-mana kumpulan pekerja lain yang memerlukan bantuan ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bayaran RM200 kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dijadualkan pada Mei 2020, akan diawalkan pada Mac 2020 dengan tambahan RM100. Kami percaya bantuan lebih menyeluruh diperlukan untuk membantu pekerja di seluruh sektor, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura yang berkemungkinan tidak mendapat gaji, diberhentikan kerja, atau perlu mencari penginapan di Singapura, kerana mereka tidak boleh bekerja atas Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Kerajaan Malaysia.

2. Membantu PKS melalui masa sukar

Projek-projek kecil bernilai RM2 bilion untuk pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan pada April 2020 tidak mencukupi. Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu PKS merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit. Pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang perlu dilaksanakan.

Pinjaman perlu dipermudahkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan bertahan. Bank Negara Malaysia harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi (pada masa ini, kadar pembiayaan Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan untuk mengurangkan kejutan COVID-19 adalah pada 3.75%). Sekiranya langkah-langkah ini tidak mencukupi, pembayaran secara langsung hendaklah dikeluarkan.

3. Moratorium tiga bulan untuk pembayaran balik pinjaman bank

Bagi melindungi pekerjaan pekerja tempatan dan menyelamatkan perniagaan di negara ini, moratorium selama tiga bulan amat penting untuk dilaksanakan bagi semua pembayar pinjaman. Kadar keuntungan yang besar membolehkan bank menampung kerugian mereka. Ini merupakan peranan pihak bank bagi menjamin keberlangsungan peniagaan dan pekerja untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik (“systemic collapse”).

4. Insentif tambahan untuk pekerja kerajaan barisan hadapan (frontliners)

Rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan penjawat awam yang merupakan pejuang baris hadapan menentang pandemik COVID-19. Oleh itu, insentif tambahan dan kemudahan diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi kesihatan rakyat Malaysia.

Pada ketika ibu pertiwi dilanda krisis, solidariti dan perpaduan semakin penting untuk memastikan rakyat mengharungi cabaran ini bersama, memastikan tiada siapa yang tercicir dan kebajikan semua rakyat terjamin.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim Presiden
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik (DAP) – Roketkini.com