Berita, Rencana

Covid-19: P. Pinang umum pakej bantuan rakyat RM75 juta

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan bantuan tambahan berbentuk Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM75 juta bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat ekoran krisis wabak Covid-19.

Tiga objektif utama Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ini adalah: 

1. Memberi bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan, seperti penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan B40. 

2. Membantu golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti. 

3. Membolehkan kelangsungan perniagaan atau ‘business continuity’ di negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca-31 Mac 2020.

Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang merangkumi: 

1. Bantuan tunai one-off RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja berlesen

Semua peniaga kecil serta penjaja berlesen yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) layan menerima bantuan ini. Bantuan ini juga melibatkan peniaga pasar malam, pasar tani dan kendara saji (food truck).

Pendaftaran untuk bantuan tersebut akan mula dibuka pada 15 April 2020. 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen seluruh negeri Pulau Pinang bakal mendapat manfaat ini.

2. Bantuan tunai one-off RM500 kepada pemandu pelancong berdaftar

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1,367 pemandu pelancong Pulau Pinang yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM685,000

3. Bantuan tunai one-off RM500 kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Bantuan ini melibatkan semua penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk golongan OKU dan penerima AES. Pembayaran akan dibuat terus ke dalam akaun mereka pada bulan April 2020. 

Bantuan ini bakal melibatkan 18,657 penerima. Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM9.33 juta. 

4. Penambahan wang insentif tahunan pemandu teksi dan penarik beca

Wang insentif tahunan Kerajaan Negeri kepada pemandu teksi dan penarik beca berbaki RM300 akan diawalkan ke bulan April 2020 dan ditambah lagi dengan bantuan one-off RM200, menjadikan jumlah yang akan diterima pada bulan April ini adalah sebanyak RM500 setiap seorang.

Bantuan ini akan memanfaatkan 2,248 pemandu teksi dan 318 penarik beca dengan jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri sebanyak RM513,600. (Tidak termasuk insentif asal yang telah dibajetkan).

5. Bantuan tunai one-off RM300 kepada pemandu e-hailing

Ini akan melibatkan kira-kira 10,000 pemandu e-hailing Pulau Pinang. Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM3 juta. 

6. Pengecualian sewa bulanan Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kelolaan Kerajaan Negeri

Kerajaan negeri juga akan memberikan pengecualian sewa bulanan selama dua bulan kepada penghuni-penghuni di 4,860 unit Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan PPR kelolaan Kerajaan Negeri di Pulau Pinang. Ini bermakna, para penghuni skim perumahan tersebut tidak perlu membayar sewa bulan April 2020 dan Mei 2020. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM932,844.

7. Pengecualian sewa premis-premis perniagaan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Kerajaan Negeri akan memberikan pengecualian sewa satu bulan untuk premis-premis perniagaan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pasar-pasar awam, lot-lot kedai dan sebagainya. Pengecualian sewa ini berkuatkuasa pada April 2020 dan melibatkan 10,999 premis perniagaan.

Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga diarahkan untuk tidak mengutip sewa tapak pasar malam dan pasar pagi bagi tapak-tapak yang diuruskan oleh mereka bagi bulan April  2020. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri bagi perkara ini ialah RM1.61 juta.

8. Bantuan zakat sebanyak RM3 juta kepada golongan asnaf

Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga telah memperuntukkan RM3 juta untuk membantu golongan asnaf beragama Islam. Perkara ini telah diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang diPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Yang Berhormat Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada 19 Mac 2020. 

9. Bantuan kewangan khas kepada masjid dan surau 

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) juga akan memberikan bantuan one-off sebanyak RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di seluruh negeri Pulau Pinang sebagai bantuan membiayai kos penyelenggaraan, pembersihan serta pembasmian kuman. 

Bantuan ini akan melibatkan 226 masjid dan 538 buah surau di negeri Pulau Pinang.

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM495,000.

10. Bantuan tunai one-off kepada pesakit Covid-19 Pulau Pinang

Sebagai tanda takziah kepada mereka yang terkesan, Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 kepada pesakit yang disahkan positif Covis-19 di negeri ini, dan bantuan tunai one-off RM1,000 kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Pulau Pinang. 

Jumlah dana yang diperuntukan untuk perkara ini ialah RM300,000.

11. Insentif khas RM300 kepada semua wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT)  

Sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan wira barisan hadapan yang mengambil risiko berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang dalam tempoh penuh cabaran ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan insentif khas secara one-off berjumlah RM300 kepada setiap seorang daripada mereka. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri hasil daripada pemberian insentif khas ini adalah sebanyak RM1.4 juta.

12. RM3.3 juta untuk memperkasakan wira barisan hadapan agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Negeri juga akan memberikan insentif khas one-off sebanyak RM300 setiap seorang sebagai menghargai jasa wira-wira barisan hadapan daripada agensi dan jabatan kerajaan persekutuan seperti warga Jabatan Kesihatan Negeri, anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Jabatan Imigresen dan RELA.

Insentif khas kepada anggota agensi dan jabatan persekutuan akan melibatkan 10,511 keanggotaan. Kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM3.3 juta.

13. Perolehan bekalan peralatan keselamatan diri

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan perolehan bekalan peralatan keselamatan diri seperti pelitup muka ataupun face masks, pensanitasi tangan (hand sanitizer), termometer infra merah dan sebagainya. 

Sejak minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Negeri telah membekalkan peralatan perubatan dan keselamatan diri seperti Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment, PPE), katil, bantal, pelitup muka, termometer, pensanitasi tangan dan lain-lain kepada pihak hospital dan pekerja barisan hadapan yang lain. 

Sebagaimana dimaklumkan semalam, Kerajaan Negeri telah membuat tempahan 6 juta keping pelitup muka bagi kegunaan negeri Pulau Pinang. Saya akan memberikan maklumat terkini dari masa ke masa berkaitan semua bekalan ini. 

14. Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang (Penang Business Continuity Zero Interest Loan)

Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang ataupun Penang Business Continuity Zero Interest Loan bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) menempuh masa penuh kesukaran ini.

Skim pinjaman ini akan mempunyai dua kategori, iaitu

  1. Kategori usahawan mikro yang mana pemohon boleh memohon pinjaman sehingga RM5,000 setiap seorang; dan
  2. Kategori usahawan PKS yang mana pemohon boleh memohon pinjaman sehingga RM10,000 setiap seorang.

Semua pinjaman di bawah skim ini adalah tanpa faedah, dan peminjam akan diberi tempoh masa 6 bulan sebelum pembayaran balik pinjaman bermula. 

Jumlah dana yang diperuntukan bagi tujuan ini adalah RM30 juta.  

15. Peruntukan khas kepada Adun sebagai dana bantuan kecemasan masyarakat setempat 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang akan diberi peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) untuk digunakan sebagai dana bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat. 

Semua 40 Adun negeri Pulau Pinang termasuk Adun pembangkang akan diberikan peruntukan khas ini. 

Kos yang ditanggung Kerajaan Negeri untuk peruntukan ini ialah RM1.2 juta. 

16. Penangguhan tempoh pembayaran kepada Kerajaan Negeri

Kerajaan Negeri juga akan melanjutkan tempoh akhir pembayaran kepada perkara-perkara berikut selama tiga bulan:

i) Penangguhan tempoh akhir bayaran cukai petak atau cukai tanah daripada 31 Mei 2020 kepada 30 Ogos 2020. 

ii) Penangguhan tempoh bayaran skim sewa-beli Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) bagi bulan Mac 2020 dan April 2020 selama tiga bulan.

iii) Penangguhan tempoh pembayaran balik pinjaman Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani dan Pinjaman Penuntut selama tiga bulan.

Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri peka akan impak dan kesan yang terpaksa dihadapi oleh semua pihak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. 

Suntikan dana RM75 juta ini adalah insentif dan rangsangan bagi memulihkan ekonomi negeri Pulau Pinang. – Roketkini.com