Berita, Rencana

Kerajaan suruh rakyat guna wang simpanan sendiri?

Oleh Ghafar NS

Keputusan kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan wang sebanyak RM500 dari Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 bulan dengan alasan kononnya untuk ‘membantu’ rakyat mengharungi krisis wabak Covid-19, mendapat tentangan banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa agensi.

Pengumuman oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ini dilihat ramai pihak seolah-olah menunjukkan kerajaan membiarkan rakyat terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri sendiri dengan menggunakan wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk meneruskan kehidupan pada usia tua. 

Mengikut rekod, hampir 33% pencarum KWSP aktif mempunyai kurang daripada RM6,000 dalam Akaun 2 mereka setakat Disember 2018 manakala 28% mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Kebanyakan kumpulan B40 berada di dalam kategori ini.

Timbul juga persoalan, bagaimana pula dengan para nelayan, petani, penjaja dan mereka yang bekerja sendiri dan tidak mencarum dengan KWSP?

Cadangan tersebut sewajarnya ditarik dan digantikan dengan pemberian bantuan wang tunai bukan sahaja kepada 12 juta pencarum KWSP, tetapi juga kepada sejumlah besar tenaga kerja di Malaysia yang tidak mencarum kepada KWSP.

Yang lebih penting, apakah sebenarnya peranan yang sepatutnya dimainkan kerajaan dalam menghadapi krisis maha dahsyat seumpama ini? Sudah tentu bukan dengan menyuruh rakyat menggunakan wang simpanan persaraan.

Ini yang diluahkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sejak beberapa hari ini. 

Jauh daripada menyuruh rakyat menggunakan wang persaraan di tengah-tengah krisis yang memuncak, beliau sebaliknya menyarankan kerajaan menggunakan rizab negara atau meningkatkan sumbangan Petronas untuk mengisi kantung negara, seperti yang juga disarankan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.  

Selain itu, Kit Siang turut menyarankan kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan serius terhadap cadangan sekretariat Pakatan Harapan (PH) supaya dana kecemasan diedarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), bermula dengan bayaran RM1,000 untuk bulan Mac dan sekali lagi untuk bulan April.

Katanya, kerajaan perlu menggunakan rizabnya untuk membiayai cadangan ini, yang akan menelan kos kira-kira RM8.2 bilion. 

Apa yang cuba ditekan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, kerajaan harus memikirkan cara untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup kerana ada antara mereka hilang sumber mata pencarian akibat krisis Covid-19 yang melanda negara ketika ini. 

Dan menyuruh rakyat mengeluarkan wang KWSP bukan caranya. Ini juga yang ditegaskan pihak NGO serta agensi berkaitan. 

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) antaranya menyatakan kerisauan dengan langkah yang diambil kerajaan. Ini kerana, secara teknikalnya kerajaan tidak memberikan sebarang bantuan kepada rakyat, sebaliknya ‘memaksa’ pekerja bergantung pada dana persaraan.

Timbalan Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah pula menyatakan bahawa pengiraan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 40% ahli aktif KWSP tidak memiliki simpanan mencukupi dalam Akaun 2 bagi mereka mendapatkan manfaat daripada RM500 sebulan selama 12 bulan ke hadapan.

Keputusan kerajaan ini turut dibidas mantan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Saifuddin Nasution. Menurutnya, kerajaan seharusnya menunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat. 

Malah, katanya, adalah lebih wajar memotong cukai bulanan bagi pekerja dengan gaji RM10,000 ke bawah selama 12 bulan ke hadapan.

Keputusan kerajaan juga mendapat tentangan tiga pakar ekonomi; Dr Muhammaed Abdul Khalid, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Hamdan Abdul Majeed yang berpendapat bahawa kerajaan perlu lakukan apa sahaja dengan tangkas dan mengerakkan sumber negara bagi membantu rakyat. 

Tambah mereka, terdapat keperluan mendesak berupa bantuan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil yang lebih terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan Covid-19 ini.

Mengapa kerajaan tidak mengeluarkan sumber negara dan beri bantuan terus kepada setiap rakyat yang terjejas? 

Mengapa rakyat perlu menggunakan wang simpanan sendiri untuk membantu diri sendiri meneruskan hidup dalam kemelut ini? 

Langkah yang diambil oleh kerajaan ini merupakan langkah jangka pendek yang pasti memudaratkan masa depan rakyat. Kerajaan seharusnya memikir langkah masa panjang kerana ternyata krisis wabak ini — melihat trend dunia dan di negara ini — masih jauh daripada berakhir. – Roketkini.com