Berita, Rencana

Pastikan betul-betul ‘no one left behind’

Oleh Langgak

‘No one will be left behind’ — kata Muhyiddin Yassin. Ia merujuk kepada pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan beliau esok.

Kata Muhyiddin, pakej itu akan ‘lebih menyeluruh’. Katanya lagi, pakej itu akan memberikan manfaat kepada semua.

Itulah harapan kita terhadap pakej rangsangan itu. Kita mahu ia benar-benar membantu semua isi rumah terutama berpendapatan rendah yang terdedah dengan impak ekonomi Covid-19.

Ini kerana, rakyat sedang mendepani pelbagai kesulitan dalam hidup mereka. Ramai golongan berpendapatan rendah hilang punca rezeki dan kini dalam kesempitan ekoran impak Covid-19 ini. Semua mereka perlu pembelaan sewajarnya.

Kita juga tidak mahu timbul perkara berbangkit sepertimana pada pengumuman Perdana Menteri sebelum ini. Ini termasuk cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang dari Akaun 2.

Sebagai kerajaan yang prihatin, Muhyiddin perlu berani bertindak dalam menangani cabaran-cabaran pada ketika ini antaranya melaksanakan pindahan tunai bagi golongan B40.

Cadangan Pakatan Harapan agar pemberian RM1,000 bagi Mac dan RM1,000 bagi April kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu dipertimbangkan secara serius.

Rakyat memerlukan wang secukupnya untuk membeli bekalan makanan dan barangan keperluan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Nasib rakyat seharusnya segera dibela bagi mengelakkan daripada timbul isu-isu lain termasuk kelaparan dan kegelisahan sosial.

Selain itu, kerajaan perlu juga proaktif dalam membela nasib penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Mereka pastinya antara kelompok paling terkesan dalam tempoh ini.

Kesimpulannya, semua rakyat Malaysia kini menantikan pengumuman pakej rangsangan ini. Oleh itu, pastikan ianya betul-betul ‘no one left behind’.

Langgak – Menanti pengumuman – Roketkini.com