Berita

Covid-19: KM, Exco P. Pinang sumbang gaji sebulan

Ketua Menteri termasuk barisan Exco Pulau Pinang menyumbang sebulan gaji sebagai usaha melawan wabak Covid-19.

Perkara ini diumumkan sendiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di Komtar, hari ini.

“Susah senang kita tempuhi bersama. Barisan Exco kerajaan negeri termasuk saya bersetuju untuk menderma satu bulan gaji kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang,” katanya. 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang mengatur sistem pengagihan makanan dan barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.

Ia katanya, bagi memastikan pergerakan yang tersusun semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan melindungi sukarelawan daripada jangkitan Covid-19.

Selain itu, penyusunan sistem itu juga bagi mengelakkan pembaziran bekalan makanan dan keperluan asas ekoran pengagihan yang tidak terancang serta efisien. 

“Lazimnya, saya berasa amat bangga bahawa di Pulau Pinang, ada banyak pertubuhan bukan kerajaan, dan individu-individu yang bermurah hati yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan susah dan kurang mampu.

“Tetapi buat masa ini, biarlah Kerajaan Negeri menstrukturkan semula kerja-kerja pengagihan makanan, dan biarlah pihak berkuasa seperti anggota perubatan, polis, tentera, bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat pada waktu ini,” ujarnya. 

Beliau turut memandang serius isu gelandangan di Terminal Bas Komtar dan akan mengambil pendekatan khas pada kadar segera. – Roketkini.com