Berita

Covid-19: Semua DUN P. Pinang dapat peruntukan khas RM30,000

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan peruntukan khas dana bantuan rakyat berjumlah RM30,000 untuk semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha membantu rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, peruntukan itu diberikan secara saksama kepada semua 40 Adun Pulau Pinang tanpa mengira parti politik yang diwakili mereka. 

“Sebagaimana saya tekankan sejak awal krisis ini bahawa kini bukan masa untuk berpolitik. Kita perlu menggembleng tenaga agar usaha membantu rakyat boleh dilaksanakan dengan pantas dan lancar,” katanya dalam sidang media di Komtar, hari ini. 

Tambahnya, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan segala bantuan dan insentif kewangan sampai dengan pantas kepada rakyat pada April ini. 

“Saya berharap gabungan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dan Pakej Prihatin Kerajaan Persekutuan akan membolehkan rakyat bangkit semula daripada kemuraman ekonomi akibat wabak ini,” ujarnya. 

Ketua Pembangkang sertai JKKN

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang turut mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang DUN, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) negeri ini. 

“Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelarasan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan berhubung pengurusan isu COVID-19. 

“Malah, saya juga menjemput beliau untuk hadir di mesyuarat seterusnya iaitu pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 9.30 pagi di Komtar. Sebagai makluman, beliau telah bersetuju dengan pelantikan dan jemputan berkaitan,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar semua wakil rakyat negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti kerajaan mahupun pembangkang bekerjasama bagi memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. – Roketkini.com